AM

Angkasa sasar 3,000 koperasi peruncitan naik taraf sistem perniagaan ke platform digital

08/08/2021 05:18 PM

MELAKA, 8 Ogos -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan kira-kira 3,000 koperasi yang terlibat dalam bidang peruncitan menaik taraf sistem perniagaan menggunakan teknologi digital sesuai dengan keadaan arus perdana hingga akhir tahun ini.

Presidennya Abdul Fattah Abdullah berkata penggunaan platform digital seperti e-dagang adalah antara strategi bagi membolehkan perniagaan mereka terus berjalan sekali gus mengurangkan impak lebih teruk yang terpaksa dihadapi koperasi akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata sejak pertengahan tahun lepas, sebanyak 500 koperasi dalam bidang peruncitan sudah terlibat sepenuhnya dalam platform digital untuk meningkatkan prestasi jualan di bawah program JiMAT SHOP dan JiMAT BIZ.

"Kita amat menggalakkan sebanyak mungkin koperasi peruncitan menggunakan platform digital untuk memasar, mempromosi produk serta menjalankan transaksi tanpa perlu bersemuka kerana ia dilihat medium terbaik buat masa ini. 

"Bagi koperasi yang terlibat dengan platform digital ini, ANGKASA juga menyediakan kemudahan pendahuluan bernilai RM10,000 untuk mereka membeli barang daripada pembekal dan perlu membuat bayar balik pada bulan berikutnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian menerusi Projek Barang Asas 100 (BA100) kepada 50 ibu tunggal melalui Koperasi Ibu Bestari Melaka Berhad di Taman Pertam Jaya, Padang Temu di sini.

Abdul Fattah turut menyarankan supaya golongan ibu tunggal dapat bergerak aktif melalui koperasi kerana ia dilihat sebagai platform bantu diri yang sekian lama terbukti berdaya tahan dalam mendepani pelbagai krisis merentasi zaman. 

Beliau berkata berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga Disember 2020, terdapat sejumlah 27 koperasi berkaitan ibu tunggal dengan 1,393 anggota.

"Ia meliputi jumlah syer atau yuran sebanyak RM151.98 juta, jumlah aset sebanyak RM320.99 juta dan perolehan sebanyak RM82.44 juta," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan