KUALA LUMPUR, 30 Julai -- Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital) memulakan penyenaraian di Pasaran LEAP Bursa Malaysia pada 26 sen sesaham, dengan premium 13 sen atau 100 peratus daripada tawaran awam awal (IPO) pada 13 sen.
Ketika dibuka pagi ini, kaunter menyaksikan 1.1 juta saham diniagakan.
Dalam satu kenyataan, ia berkata penyenaraian itu melibatkan keseluruhan modal saham terbitannya berjumlah RM36.58 juta, merangkumi 355.06 juta saham.
"Penyenaraian itu dilaksanakan dengan cara pengenalan dan tidak memerlukan sebarang penjanaan dana selepas kemasukan ke Pasaran LEAP Bursa Malaysia.
"Ia hanya melibatkan penerbitan 35.86 juta saham baharu kepada pelabur pra-penyenaraian pada harga langganan RM0.13 sesaham, yang mengumpulkan jumlah hasil sebanyak RM4.66 juta," katanya.
Pengerusi bukan eksekutif LSH Capital Tan Sri Lim Keng Cheng berkata penyenaraian itu bertujuan memberi jaminan dan menunjukkan penghargaan kepada pelanggan setia yang telah bersama kumpulan itu selama bertahun-tahun.
Setakat ini, syarikat telah memperoleh pesanan bernilai kira-kira RM69.7 juta untuk penyediaan produk pencahayaan, produk dan perkhidmatan berkaitan mekanikal dan kejuruteraan serta bahan binaan dan penyewaan mesin jentera untuk LSH33.
"Daripada jumlah itu, RM63.2 juta dijangka diperakui dalam pendapatan kumpulan untuk tempoh hingga tahun 2024," tambahnya.
Sementara itu, Lim berkata kumpulan itu turut merancang untuk mendigitalkan operasinya, khusus dalam proses pesanan dan penghantaran bahan binaan, serta memperuntukkan lebih banyak sumber e-dagang untuk peruncitan produk, perkakasan dan alat pencahayaan.
“Kami kini beroperasi dari satu ibu pejabat, lapan kedai runcit dan satu rumah gudang di Lembah Klang. Kami berhasrat untuk mengadakan tambahan dua kedai Lim Seong Hai Lighting Sdn Bhd dan tiga lagi kedai Knight Auto Sdn Bhd di Kuala Lumpur menjelang 2024.
"Jumlah anggaran kos untuk menubuhkan lima kedai runcit tambahan ini adalah sekitar RM12.7 juta. Ini akan dibiayai sebahagian daripada hasil yang diperoleh daripada IPO," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial