KUALA LUMPUR, 2 Julai -- Persaingan paling sukar adalah ‘perang’ melawan diri sendiri. Itu cabaran terbesar penembak berpengalaman negara Nur Suryani Mohamed Taibi yang bakal membuat penampilan keduanya pada temasya Sukan Olimpik di Tokyo, bulan ini.
Penembak berusia 38 tahun itu yang akan beraksi dalam acara kegemarannya, 50 meter (m) Rifle 3 Position individu wanita, berkata dalam sukan menembak setiap atlet lebih berlawan dengan diri sendiri bagi mendapatkan konsistensi dalam setiap bidikan.
Nur Suryani berkata beliau perlu berada pada tahap fokus tertinggi ketika melepaskan tembakan untuk mengelak berlakunya kesilapan tidak sepatutnya yang mampu menjejaskan pungutan skor.
“Ia lebih kepada teknikal dengan taktikal, apabila kita melepaskan tembakan kita perlu pastikan tiada kesilapan atau kesilapan kecil yang akan halang kita daripada tembak 10 (skor) dan buatkan skor kita jadi sembilan atau lapan.
“Jadi bila kita tembak sembilan, macam mana nak perbaiki pada tembakan berikutnya. Kita perlu atasi faktor yang mengurangkan skor itu, maka di situ maksudnya semangat berlawan sentiasa perlu ada dalam diri supaya kita sentiasa melakukan bidikan yang baik sehingga selesai,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.
Seperti atlet lain, Nur Suryani turut mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi masalah tersebut dengan menjadikan amalan membaca ayat suci al-Quran sebagai azimat sebelum melangkah masuk ke lapangan sasar menembak.
Menurutnya, kaedah tersebut berupaya mengatasi ‘peperangan’ dengan diri sendiri sekali gus membantunya tampil lebih tenang untuk melepaskan bidikan.
“Saya lebih banyak berselawat, zikir dan membaca ayat al-Quran yang boleh tenangkan fikiran, jadi bila kita fokus pada zikir, ketenangan (dirasai) lebih mendalam,” katanya yang beraksi dalam acara 10m Air Rifle individu pada Sukan Olimpik 2012 di London.
Dalam pada itu, Nur Suryani yang tidak menyertai sebarang kejohanan kompetitif sejak Mac tahun lepas berkata, beliau sentiasa mengelak daripada meletakkan sebarang tekanan yang tidak perlu ke atas dirinya seperti membandingkan prestasi antara pihak lawan, dalam persediaan ke Tokyo.
“Saya berharap akan memperbaiki kedudukan ranking di Sukan Olimpik 2012 pada kali ini,” katanya sambil mengakui perkara paling tinggi ketika ini adalah memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan prestasi dan melakukan terbaik di temasya sukan terbesar dunia itu.
Sementara itu, jurulatih menembak kebangsaan Mohd Yusri Jusoh memaklumkan persiapan anak buahnya berjalan lancar dan tiada sebarang masalah dihadapi dengan peralatan menembak yang akan digunakan di Tokyo.
Bagaimanapun, kebimbangan Mohd Yusri adalah bagaimana Nur Suryani dapat membiasakan diri dengan intensiti pertandingan yang tinggi selepas lebih setahun tidak beraksi dalam saingan kompetitif.
“Kali terakhir kami sertai kejohanan pada Mac tahun lepas di Subang, selepas itu sampai ke hari ini masih tiada kejohanan disertai. Kami ada terlibat dalam pertandingan dalam talian tetapi itu pun sekali sahaja tahun ini, selebihnya kami berlatih dan melakukan simulasi dalaman,” katanya.
Nur Suryani yang memegang rekod kebangsaan 50m Rifle 3 Position individu wanita dengan skor 1170 layak ke Tokyo selepas menjadi atlet pilihan Persatuan Kebangsaan Menembak Malaysia (NSAM) yang menerima satu slot wild card, awal bulan lepas.
Pada edisi 2012 di London, Nur Suryani menamatkan saingan 10m Air Rifle individu di kedudukan ke-34, namun mencuri tumpuan media dan peminat sukan global apabila bertanding meskipun sedang sarat mengandung lapan bulan.
Sukan Olimpik Tokyo dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial