KUALA LUMPUR, 1 Julai -- Vivocom International Holdings Bhd telah memeterai Perjanjian Dasar Induk (HoA) dengan Strattner Alternative Credit Fund LP yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) bagi pelaburan bernilai sehingga AS$350 juta (AS$1=RM4.15) dalam Vivocom.
Dalam satu kenyataan hari ini, Vivocom berkata pihak-pihak yang terlibat melihat peruntukan modal berkenaan sebagai pelaburan ke dalam syarikat dan merupakan titik permulaan bagi perkongsian strategik jangka panjang untuk memajukan pertumbuhan Vivocom melalui aktiviti penggabungan dan pengambilalihan serta membiayai projek pembinaan, pembangunan hartanah dan perdagangan mineralnya.
“Terma-terma yang terkandung dalam HOA menyatakan pelabur berminat untuk membeli saham Vivocom sehingga US$350 juta atau, dari segi agregat, tidak lebih daripada sembilan peratus daripada modal saham terbitan syarikat dari semasa ke semasa bagi tempoh 18 bulan dari tarikh menandatangani dokumentasi sah perjanjian itu,” katanya.
Vivocom berkata syarikat itu akan mengawal masa dan jumlah modal yang termaktub di bawah perjanjian itu.
“Kaedah pengumpulan dana itu menyediakan pengurusan dengan pembiayaan yang fleksibel dan memberikan Vivocom kemampuan untuk menggunakan wang tunai berdasarkan keperluan sekiranya perlu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vivocom Datuk Seri Chia Kok Teong berkata hasil yang diperoleh daripada perjanjian pelaburan itu juga akan digunakan sebagai modal kerja untuk perniagaan perdagangan pasir dan mineral yang diusahakan baru-baru ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial