EKONOMI

Pinjaman bank kekal pada 3.9 peratus tahun ke tahun pada Mei 2021

01/07/2021 12:35 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai -- Pertumbuhan pinjaman dalam sistem perbankan terus kekal pada 3.9 peratus tahun ke tahun pada Mei 2021, terutama disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman isi rumah yang lebih tinggi sebanyak 6.1 peratus.

Ia turut didorong oleh penggunaan swasta yang lebih besar sementara pinjaman perniagaan naik 0.9 peratus kerana persekitaran perniagaan masih lemah.

Kenanga Investment Bank Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata berdasarkan bulan ke bulan, jumlah pertumbuhan tidak berubah pada 0.3 peratus tetapi dibantu oleh pinjaman perniagaan yang lebih baik dengan peningkatan 0.4 peratus dipacu oleh sektor pembuatan dan peruncitan.

Pinjaman isi rumah hanya menambah 0.2 peratus bulan ke bulan manakala pengeluaran pinjaman turun 1.8 peratus bulan ke bulan dengan pembayaran balik turut merosot 4.5 peratus kerana kawalan pergerakan telah menghalang aktiviti ekonomi.

Susulan daripada keadaan lesu aktiviti ekonomi yang mempengaruhi perbelanjaan persendirian, bank pelaburan itu telah menyemak secara menurun jangkaan pertumbuhan pinjaman antara 3.0 peratus dan 4.0 peratus daripada 4.0-5.0 peratus yang ditetapkan sebelumnya bagi tahun kalendar 2021.

"Lanjutan penguatkuasaan kawalan pergerakan penuh telahpun dijangka ekoran kes COVID-19 dan ini turut memberi tamparan kepada bank.

"Moratorium menyeluruh selama enam bulan yang baru diumumkan, berkuat kuasa pada 7 Julai akan membantu mengurangkan kesulitan kewangan individu dan perniagaan yang terjejas tetapi bagi pihak bank, ia akan berhadapan dengan beberapa kerugian pengubahsuaian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan