EKONOMI

PetDag jual inventori kerja, produk tidak terjual kepada PETCO Trading Labuan dengan nilai RM23.12 Juta

30/06/2021 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun -- Petronas Dagangan Bhd (PetDag) menjual inventori kerjanya dan produk yang tidak terjual dengan 16.51 juta liter minyak di terminal minyak terpilih kepada PETCO Trading Labuan Company Ltd (PTLCL) dengan nilai RM23.12 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PetDag berkata ia telah menandatangani lima perjanjian jual dan beli (SPA) dengan PTLCL, anak syarikat milik penuh tidak langsung Petroliam Nasional Bhd (Petronas), dengan kontrak individu yang dijangka selesai pada September ini.

“Pemindahan pemilikan inventori daripada PetDag kepada PTLCL akan menghapuskan pendedahan pergerakan Means of Platts Singapore (MOPS) kepada PetDag, terutamanya apabila MOPS dalam trend penurunan, yang akan memberi impak kepada daya saing harga produk,” katanya.

Katanya semua hasil jualan yang dijangka akan digunakan untuk keperluan perbelanjaan operasi harian PetDag.

PetDag telah memulakan Project DOVE pada Mei 2020 sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan yang berterusan dalam meningkatkan kecekapan operasi rantaian bekalan produk syarikat dari kilang penapisan hingga terminal.

Katanya antara elemen utama projek ini ialah pengenalan model operasi baharu (NOM), apabila syarikat tidak lagi memiliki inventori di terminal terpilih, serta pengurusan dan pemilikan semua inventori akan dipindahkan kepada PTLCL.

Menurut PetDag, sebanyak 14 terminal minyak terpilih syarikat telah dikenal pasti untuk pelaksanaan NOM secara berperingkat, manakala untuk pengumuman ini, pelaksanaan NOM adalah di Labuan Fuel dan ASB Labuan, Kuantan, Prai, Langkawi dan Terminal Minyak Lumut untuk produk terpilih.

“Bagi baki produk dan lapan terminal yang telah dikenal pasti akan melalui penilaian pelaksanaan akhir, dan akan dilaksanakan berdasarkan kesediaan operasi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan