AM

Pesakit terlantar terima vaksin di rumah

29/06/2021 01:14 PM

BUTTERWORTH, 29 Jun -- Pasangan suami isteri warga emas di sini bersyukur apabila Program Vaksinasi Rumah ke Rumah yang disediakan untuk pesakit kronik terlantar membolehkan mereka menerima suntikan pertama vaksin.

Sejak awal lagi, Ali Jafary, 69, dan isteri Fatimah Mat, 63, sudah bersedia untuk menerima suntikan vaksin COVID-19, namun disebabkan Ali yang sakit kronik dan hanya terlantar di rumah telah membataskan keupayaan mereka untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV) di klinik kesihatan terdekat.

Fatimah berkata beliau dan suami tiada anak dan ia juga antara sebab mengapa mereka tidak boleh ke PPV untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19 sedangkan pasangan itu teruja untuk mendapatkannya kerana mahu melindungi diri masing-masing.

"Pak cik memang tak boleh bangun, hanya baring di atas tilam sahaja sebab ada penyakit seperti strok, kencing manis, darah tinggi dan kolesterol...mak cik pun ada beberapa penyakit juga sebab itu kami berdua memang menantikan untuk menerima suntikan vaksin ini.

"Tak takut langsung nak cucuk (disuntik)... Lagipun memang tahu vaksin ini benda baik nak bantu kita supaya tidak sakit. Bahaya penyakit COVID-19 yang boleh bawa maut sudah banyak saya dengar di televisyen, pak cik pun selalu tanya bila mereka boleh dapatkan suntikan," kata Fatimah ketika ditemui Bernama di rumahnya di Taman Desa Murni di sini.

Menerusi program itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua, suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer yang diberikan oleh unit vaksinasi bergerak Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) melibatkan warga emas sakit terlantar yang dijalankan menerusi kaedah bergerak dari rumah ke rumah.

Ali yang merupakan pesara tentera berharap lebih ramai warga emas yang sakit terlantar dan menghidap pelbagai penyakit sehingga tidak boleh bergerak sepertinya menerima vaksin di rumah kerana faktor usia menyebabkan mereka dikategorikan dalam golongan berisiko tinggi,

"Terima kasih kepada semua pihak yang datang ke rumah saya memberikan suntikan vaksin kepada kami suami isteri. Cucuk tak sakit pun dan tak rasa apa-apa lepas tu...jangan takut untuk dapatkan suntikan," katanya.

Seorang lagi pesakit kronik yang terlantar, Kamaruddin Aziz, 68, turut bersyukur kerana dapat menerima suntikan vaksin COVID-19 sedangkan dia tidak pernah terfikir untuk mendapatkan suntikan tersebut berikutan keadaan kesihatannya, malah tidak boleh bergerak sejak 10 tahun lepas.

"Alhamdulilah...saya akhirnya turut menerima suntikan vaksin COVID-19, selalu hanya tengok orang terima di televisyen sahaja dan memang tidak sangka akan dapat sebab hanya terlantar di atas katil sahaja," katanya yang tinggal bersama isterinya, Cik Azizah Ahmad, 73, di Taman Desa Murni.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua Datuk Muhammad Yusoff Mohd Noor berkata pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah SPU yang mengambil inisiatif untuk memberikan suntikan kepada pesakit terlantar di kawasannya dan seramai 30 warga emas menerima vaksin menerusi projek perintis di Pulau Pinang itu.

"Saya dihubungi oleh Pejabat Kesihatan Daerah SPU minggu lepas untuk mencari pesakit terlantar di kawasan DUN Sungai Dua bagi diberikan suntikan vaksin di rumah masing-masing berikutan mereka tidak boleh ke PPV kerana sakit kronik...kami terus turun padang dan mencari mereka yang sakit terlantar.

"Menurut pasukan perubatan, DUN Sungai Dua ini merupakan pilot project (projek perintis) dan ia dijangka diteruskan di kawasan lain dalam usaha memastikan pesakit terlantar turut menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha kita membendung penularan wabak tersebut," katanya yang turut mengikut program itu.

Pasukan pemberian vaksin mobile (secara bergerak) terdiri daripada dua pegawai perubatan, dua jururawat dan dua penolong pegawai perubatan dengan selepas pemberian vaksin, kesemua pasukan perubatan berkenaan turut menjalankan pemerhatian kepada setiap warga emas itu selama 15 hingga 30 minit.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan