AM

MASALAH CAPAIAN INTERNET DI KAMPUNG RANGGOM DIATASI SEGERA - MCMC

17/06/2021 02:25 PM

KENINGAU, 17 Jun -- Pelbagai usaha sedang giat diambil bagi memastikan masalah capaian internet dan kesalinghubungan di kawasan Kampung Ranggom di sini, diatasi dengan kadar segera.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memberitahu,  ketiadaan kemudahan dan capaian internet lemah memberikan masalah kepada Atiqah Nurqistina Jamain,  seorang pelajar tingkatan lima di kampung itu, dan juga pelajar lain.

Menurut MCMC, satu pertemuan antara pihaknya dengan penyedia perkhidmatan bersama pelajar berkenaan telah diadakan beberapa hari lalu, bagi memahami masalah serta keperluan pelajar terkesan, dan ujian kelajuan jalur lebar turut dijalankan di kawasan rumah Atiqah Nurqistina, dan mendapati liputan tidak memuaskan.

“Sebagai langkah untuk meringankan kesukaran yang dihadapi oleh pelajar itu, kerja-kerja pengoptimuman akan dijalankan oleh pihak Maxis di lokasi menara terdekat, iaitu Kampung Labak Baru Bingkor.

“Pelajar tersebut boleh membuat pendaftaran untuk menjadi ahli Pusat Internet Komuniti (PIK) selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sewaktu PKP ini, beliau boleh mengguna kemudahan yang sedia ada di PIK tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP),” menurut kenyataan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, Atiqah Nurqistina pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Apin-Apin yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun depan, berhadapan kesukaran mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah kerana masalah capaian internet.

MCMC dalam kenyataan itu menyatakan penyelesaian jangka panjang melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sudah dirancang, dan sebuah menara akan dibina oleh Celcom di Kampung Sungai Apin-Apin yang terletak kira-kira 0.77 kilometer dari Kampung Ranggom.

“Pembinaan menara ini akan dijangka siap pada bulan April 2022, yang boleh menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi oleh pelajar berkenaan dan para penduduk sekitar Kampung Ranggom,” menurut kenyataan itu lagi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan