KANGAR, 16 Jun -- Wakaf merupakan satu daripada instrumen dalam kewangan sosial Islam yang mampu memberikan impak ekonomi dan sosial kepada ummah.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah potensi wakaf cukup besar untuk dikembangkan dan ia sesuai dengan keperluan semasa.
"Wakaf mempunyai jangkauan yang sangat luas sama ada dari sudut sumber penyumbang dana mahupun dari aspek penerima manfaat,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan sesi pembukaan ‘Webinar Wakaf 2021 Peringkat Negeri Perlis’ yang dianjurkan dalam talian oleh MAIPs bersama Yayasan Waqaf Malaysia serta Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR).
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah Majlis Agama Islam di setiap negeri yang telah diberikan amanah sebagai Pemegang Amanah Tunggal Harta Wakaf harus diberikan kepercayaan penuh dalam melaksanakan fungsi dan peranannya seiring dengan peruntukan undang-undang yang dijamin oleh Perlembagaan negara.
Baginda berharap webinar ini dapat memberikan gambaran jelas berkaitan pengurusan wakaf yang dilaksanakan dengan penuh amanah dan berdedikasi oleh Majlis Agama Islam Negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial