EKONOMI

Cagamas muktamadkan terbitan sukuk RM200 juta

15/06/2021 11:44 AM

KUALA LUMPUR, 15 Jun -- Cagamas Bhd mengumumkan kejayaan terbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) untuk tempoh lima tahun bernilai RM200 juta, hasilnya akan digunakan untuk tujuan modal kerja syarikat.

“Kami gembira dengan kejayaan penetapan harga terbitan ini dalam persekitaran langkah yang lebih ketat dilaksanakan di seluruh negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0), berikutan kes COVID-19 yang meningkat dalam tempoh beberapa minggu ini.

“Walaupun sentimen pasaran bon tempatan bertambah baik seperti yang dapat dilihat daripada aktiviti belian, impak terhadap pertumbuhan terus tidak menentu selepas PKP 3.0,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Chung Chee Leong dalam kenyataan hari ini.

Terbitan bernilai RM200 juta itu dimuktamadkan melalui tawaran saham persendirian, mencatatkan tebaran 48 mata asas yang baik berbanding Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia, katanya.

Beliau berkata terbitan baharu itu menjadikan terbitan agregat syarikat pada tahun ini kepada RM6.1 bilion.

Kertas-kertas tersebut, yang akan ditebus pada nilai nominal penuh setelah matang, adalah tanggungjawab yang tidak dijamin syarikat, pada kedudukan pari passu dan dengan semua tanggungjawab tidak dijamin sedia ada.

Ia akan disenaraikan dan diniagakan di bawah Sistem Dagangan Sekuriti Tanpa Skrip.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan