AM

MORATORIUM ENAM BULAN MEMADAI, KINI SAYA LEBIH BERSEDIA - USAHAWAN KOSMETIK

14/06/2021 01:55 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 14 Jun -- Usahawan kosmetik Norfazlina Mohd Fouzi ternyata lebih bersedia dari segi pengurusan kewangan ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 apabila mengambil keputusan untuk tidak memohon moratorium bersasar yang ditawarkan dalam PEMERKASA Tambahan baru-baru ini.

Pakej PEMERKASA Tambahan menawarkan Bantuan Pinjaman Bank Bersasar dalam dua kategori iaitu moratorium pinjaman selama tiga bulan atau pengurangan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan kepada golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

Usahawan berusia 35 tahun itu berkata, beliau tidak mengambil moratorium kerana merasakan mampu untuk membayar pinjaman daripada bank dengan pengurusan kewangan yang lebih sistematik. 

“Saya tidak memohon moratorium kali ini kerana saya mampu untuk bayar pinjaman. Lagipun, moratorium bukannya untuk menghapuskan pinjaman kita, tetapi memberi ruang untuk kita mengatur kewangan disebabkan pandemik. 

“Bagi saya, moratorium memang sangat membantu terutamanya semasa PKP 1.0. Kita semua terkejut dengan keadaan itu, namun selepas beberapa PKP, saya rasa sepatutnya usahawan termasuk saya sudah tahu dan lebih bersedia untuk menghadapi keadaan ini,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Malaysia adalah satu-satunya negara yang melaksanakan moratorium secara automatik selama enam bulan dari April hingga September 2020 untuk manfaat kepada rakyat dan perniagaan.

Namun, beliau berpendapat tidak salah untuk usahawan yang terkesan dengan pandemik ini untuk memohon moratorium kali kedua bagi membantu memastikan aliran tunai berjalan lancar. 

Katanya, moratorium automatik selama enam bulan yang diterima sewaktu PKP 1.0 telah banyak membantunya untuk bertahan dalam perniagaan sehingga kini. 

Norfazlina yang juga bekas pegawai bank sebelum mengambil keputusan menceburkan diri dalam bidang perniagaan sepenuhnya berkata, proses untuk memohon moratorium adalah mudah dan tidak membebankan usahawan. 

“Sebaik sahaja moratorium diumumkan, pihak bank ada menghubungi untuk bertanya mengenai moratorium di mana usahawan perlu menyerahkan beberapa dokumen dan menandatangani perjanjian. Waktu itu saya di kampung di Perak.. segala dokumen ada di Kuala Lumpur. 

“Tetapi pihak bank telah banyak membantu. Saya hanya perlu menandatangani dokumen secara digital untuk membolehkan saya menerima moratorium,” katanya. 

Mengenai pengurusan perniagaannya, Norfazlina mengakui beliau terpaksa mengambil keputusan drastik untuk mengecilkan operasi perniagaan dengan memberhentikan perkhidmatan beberapa kakitangan. 

Selain itu, beliau beroperasi sepenuhnya secara dalam talian dan bekerja dari rumah untuk menjimatkan kos.

“Duit daripada pengurangan kos operasi perniagaan itu saya gunakan untuk membayar pinjaman dan memastikan aliran tunai perniagaan berjalan lancar. Agak terkilan kerana terpaksa memberhentikan pekerja,  namun ia sedikit sebanyak telah membantu saya untuk kekal dalam perniagaan,” katanya. 

Norfazlina yang menjual set penjagaan kulit turut menganjurkan kelas solekan dalam talian untuk menampung perbelanjaan perniagaan. 

Katanya, sehingga kini kelas solekan yang dianjurkan menerima sambutan yang memberangsangkan begitu juga jualan set penjagaan kulit dan khidmat tatarias. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan