DUNIA

COVID: Lelaki Malaysia lengkap divaksin antara 18 kes baharu dilaporkan pada 12 Jun di Singapura

13/06/2021 01:52 PM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 13 Jun -- Seorang lelaki Malaysia yang sudah lengkap divaksin pada Februari lalu adalah antara 18 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan pada Sabtu di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan republik itu. 

Lelaki berusia 57 tahun itu bekerja di Jurong Port Pte Ltd dan tidak bergejala, dikategorikan di bawah Kes 64169, kata kementerian dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi.

"Hasil ujian saringan COVID-19 pada 10 Jun lalu mendapati dia dijangkiti virus itu. Dia kemudian segera diasingkan selepas hasil ujian Antigen Rapid Test (ART) didapati positif dan ujian Polimerase Chain Reaction (PCR) turut dibuat pada hari yang sama.

"Hasil ujian PCR beliau kembali positif untuk jangkitan COVID-19 pada 11 Jun. Hasil ujian serologinya negatif. Nilai ambang kitaran (Ct) sangat tinggi, menunjukkan adanya beban virus yang rendah," kata kementerian itu.

Menurut kementerian itu lagi ujian lain yang dibuat pada 12 Jun didapati negatif COVID-19.

"Beliau mungkin dikesan mengalami penanggalan minute fragments virus Asid Ribonukleik (RNA) yang tidak lagi boleh berjangkit dan tidak lagi akan memberi kesan kepada yang lain tetapi kami mengambil semua langkah penjagaan kesihatan yang perlu," katanya.

Beliau menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 23 Jan dan dos kedua pada 17 Feb.

Kes baharu itu turut membabitkan seorang lagi rakyat Malaysia, wanita berusia 35 tahun yang dilaporkan pada Sabtu dan dikaitkan dengan kluster Kes 63399.

Kes pertama kluster yang kini mempunyai empat kes itu turut melibatkan lelaki Malaysia yang disahkan positif COVID-19 pada 17 Mei.

Sehingga tengah hari Sabtu, republik ini melaporkan sejumlah 62,263 kes dengan 46 kluster terbuka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan