DUNIA

COVID-19: Afghanistan tutup semua institusi pendidikan susulan peningkatan kes, kematian

12/06/2021 06:53 PM

KABUL, 12 Jun  -- Afghanistan pada Sabtu mengumumkan menutup semua institusi pendidikan di seluruh negara di tengah-tengah peningkatan jangkitan dan kematian akibat COVID-19, lapor Agensi Anadolu.

Menurut Kementerian Kesihatan, tadika, sekolah menengah serta universiti dan seminar keagamaan ditutup sekurang-kurangnya dua minggu lagi berikutan sistem kesihatan hampir lumpuh berdepan gelombang ketiga wabak.

Peningkatan keganasan menyukarkan lagi usaha untuk membendung penularan wabak.

Kementerian Kesihatan menyatakan sejumlah 2,000 alat bantuan oksigen dan 1,063 katil hospital dikhaskan untuk pesakit COVID-19. Negara yang didiami kira-kira 39 juta penduduk itu mempunyai kira-kira 1,500 katil untuk unit rawatan rapi.

Sementara itu, pada Sabtu Afghanistan meneruskan kempen vaksinasinya selepas menerima 700,000 dos vaksin Sinopharm yang disumbangkan China. 

Berdasarkan angka rasmi, sekurang-kurangnya 968,000 dos vaksin telah diberikan di negara itu. Sebanyak 500,000 dos vaksin disumbangkan India sementara 486,000 lagi dos melalui program COVAX.

Afghanistan mencatatkan 973 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 89,861 kes. Keseluruhan 3,527 pesakit telah meninggal dunia dengan 67 lagi kematian baharu. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan