AM

MAQIS KELANTAN GAGALKAN CUBAAN BAWA MASUK KELUARAN PERTANIAN THAILAND

11/06/2021 06:46 PM

KOTA BHARU, 11 Jun -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan, menahan seorang pemandu lori yang cuba membawa masuk pelbagai barangan keluaran pertanian dari Thailand tanpa permit import yang sah, di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, dekat sini, pada Rabu.

Pengarah MAQIS Kelantan Roslan Che At dalam kenyataannya hari ini berkata, kegiatan itu dikesan hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguasa MAQIS ke atas sebuah lori di pintu masuk di ICQS tersebut.

Beliau berkata hasil pemeriksaan tersebut pihaknya merampas 90 kilogram (kg) durian, 240kg limau madu, 144kg jambu madu yang dianggarkan bernilai RM3,192 serta 209 paket pelbagai jenis biji benih sayur dan buah yang dianggarkan bernilai RM725.

Katanya, perbuatan mengimport apa juga jenis keluaran pertanian tanpa Permit Import yang sah daripada MAQIS adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam perkembangan lain Roslan berkata, pihak MAQIS Kelantan turut menerima dua serahan kes daripada Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8), berupa 960kg keratan ayam sejuk beku dan 475 paket pelbagai jenis sosej yang dianggarkan bernilai RM22,955 dalam Op Kontraban, Rabu lalu.

Katanya kesemua barangan itu dirampas, kerana disyaki telah dibawa masuk tanpa Permit Import melalui pangkalan haram di tebing Sungai Golok, Rantau Panjang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan