PUTRAJAYA, 11 Jun -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberikan tambahan masa pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP), bagi kategori pembayar cukai yang menjalankan perniagaan bagi Tahun Taksiran 2020 sehingga 31 Julai 2021.
LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia melibatkan kategori Individu, Individu Pemastautin (Pekerja Berpengetahuan/Berkepakaran), Individu Bukan Pemastautin, Individu Bukan Pemastautin (Pekerja Berpengetahuan), Perkongsian, Pertubuhan, Harta Pusaka dan Keluarga Sekutu Hindu.
Menurut LHDN, inisiatif tersebut selaras dengan usaha kerajaan bagi meringankan beban pembayar cukai, dengan mengambil kira kekangan yang dihadapi dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mengemukakan BNCP, susulan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ketika ini.
“Pembayar cukai digalakkan untuk menggunakan sepenuhnya perkhidmatan dalam talian melalui platform ezHASiL, bagi tujuan pengemukaan BNCP,” menurut LHDN.
Bagaimanapun, bagi kategori Syarikat, Perkongsian Liabiliti Terhad, Unit Amanah/Amanah Harta Tanah, Koperasi, Badan Amanah, Amanah Pelaburan Harta Tanah/Tabung Amanah Harta dan Amanah Perniagaan bagi Tahun Taksiran 2020 dan Tahun Taksiran 2021, tambahan masa dikekalkan seperti yang dinyatakan pada Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2020 dan 2021.
Menurut LHDN, Program Memfail Borang Nyata tersebut boleh dimuat turun menerusi www.hasil.gov.my>Borang>Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2020 dan 2021.
LHDN telah menyediakan soalan lazim berkaitan Urusan Percukaian Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, yang boleh dicapai melalui pautan versi bahasa Melayu http://www.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_1.pdf dan versi bahasa Inggeris http://www.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_2.pdf.
Untuk pertanyaan atau maklumat balas berhubung perkara tersebut, orang ramai diminta menghubungi LHDN menerusi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara) atau HASiL Live Chat atau Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial