DUNIA

LANGKAH PEMBAHARUAN BANTU KURANGKAN KESAN COVID-19 TERHADAP EKONOMI KAZAKHSTAN

11/06/2021 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun -- Di sebalik cabaran pandemik COVID-19, ekonomi Kazakhstan hanya mencatatkan penurunan 2.6 peratus berbanding tujuh peratus tahun lalu.

Menurut laporan The Astana Times, terdapat penurunan yang besar jika dibandingkan dengan pertumbuhan empat peratus pada 2019 tetapi tidak seteruk beberapa negara lain. 

"Ia hasil daripada pelbagai pendekatan serta langkah yang diambil kerajaan Kazakhstan," menurut laporan itu. 

Antaranya langkah pembaharuan yang diambil berkaitan aspek percukaian dan penggunaan tanah.

"Syarikat mikro dan kecil dikecualikan membayar cukai dan tidak perlu menjalani pemeriksaan oleh pihak berwajib untuk tempoh tiga tahun. Peraturan bayaran cukai dipermudah, termasuk menggunakan paltform digital,” kata laporan itu.

Untuk sektor swasta, Badan Perlindungan dan Pembangunan Persaingan diwujudkan sementara Badan Pemantauan Kewangan dibentuk untuk mengatasi penurunan dalam ekonomi.

Dalam usaha menangani wabak COVID-19 pula, Presiden Kassym-Jomart Tokayev mengenakan perintah darurat di Kazakhstan pada Mac tahun lalu.

Berikutan itu pelbagai usaha dilakukan untuk membantu rakyat, menurut data kerajaan lebih 4.5 juta penduduk mendapat manfaat kewangan dan lebih 700,000 syarikat dan pengusaha dibantu menerusi pengecualian cukai.

"Kira-kira dua juta orang menerima penangguhan pinjaman. Langkah ini membantu menyokong mereka yang sangat memerlukan serta perniagaan swasta kecil dan sederhana," menurut laporan itu.

Kazakhstan juga rancak menjalankan kempen vaksinasi dengan menggunakan vaksin buatan Rusia "Sputnik V" dan vaksin Kazakhstan "QazVac", yang didaftarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai calon vaksin pada Mei tahun lalu.

Selain itu, vaksin Hayat-Vax dan CoronaVac turut digunakan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan