AM

LAGI PEMIMPIN PARTI POLITIK MENGHADAP AGONG PADA HARI KETIGA

11/06/2021 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun  -- Memasuki hari ketiga, beberapa lagi pemimpin parti politik negara menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan pemimpin pertama yang tiba untuk menghadap pada kira-kira 9.55 pagi, sebelum dilihat keluar meninggalkan Istana Negara pada 11 pagi.

Ahmad Zahid, yang turun daripada kenderaannya dan menemui pemberita yang menunggu di luar Istana Negara, berkata perbincangan ketika majlis menghadap itu menjurus kepada beberapa perkara yang menyentuh kepentingan rakyat.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau telah mempersembahkan kepada Seri Paduka tentang pendirian UMNO terutamanya darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara, dan sebaliknya isu berkaitan pandemik COVID-19 boleh diuruskan tanpa darurat.

Beliau berkata UMNO membawa suara rakyat yang rata-rata resah dan gelisah dalam menghadapi pandemik COVID-19 sehingga menjejaskan mata pencarian dan pendapatan ekonomi masing-masing.

“UMNO berpendirian Parlimen wajar bersidang, ini bagi memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan dan wujud elemen akauntabiliti serta  semak dan imbang dalam segala aspek berkaitan pentadbiran negara. UMNO berpendapat Parlimen amat penting sebagai platform rasmi menyuarakan suara hati rakyat berkenaan kepentingan mereka,” kata Ahmad Zahid.

Berhubung cadangan penubuhan sebuah badan khas seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dicadangkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahmad Zahid berkata perkara itu tidak dibincangkan.

Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran pula tiba pada 10.45 pagi dan dilihat keluar hampir sejam kemudian dan berlalu pergi tanpa turun daripada kenderaan dinaikinya.

 Pemimpin parti politik termasuk pembangkang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong secara berperingkat bermula Rabu (9 Jun), dan bagi pemimpin parti-parti politik di Sarawak, majlis menghadap diadakan secara dalam talian yang dijadualkan pada 14 Jun.

Setakat ini, 10 pemimpin daripada parti politik selesai menghadap Al-Sultan Abdullah.

Di sebelah petang hari ini pula merupakan giliran Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dilihat masuk ke Istana Negara kira-kira 2.15 petang, sebelum terus beredar pada 3.24 petang.

Pada dua hari lepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara kebiasaannya, selaku ketua kerajaan menghadap Seri Paduka sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada setiap Rabu, bagi menyembah maklum perkembangan pentadbiran negara.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR, menghadap baginda selepas itu diikuti Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan disusuli Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu mengakhiri sesi pada hari tersebut.

Semalam giliran Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air mewakili Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan.

Majlis menghadap semalam diteruskan lagi dengan Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir dan sesi terakhir melibatkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan