AM

Peningkatan penggunaan teknologi bantu basmi kemiskinan - Zahidi

10/06/2021 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun  -- Malaysia kini giat memartabatkan teknologi dengan mengusahakan industri berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT) seperti e-Dagang, Analisis Data Raya, Kecerdasan Buatan (AI), dan automasi dalam usaha membasmi kemiskinan di dalam negara.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pandemik COVID-19 telah menimbulkan kesedaran baharu tentang kepentingan rangkuman digital, dan kerajaan menyasarkan untuk menjadikan kesalinghubungan sebagai antara teras keutamaan nasional. 

“Kita sedar bahawa krisis tersebut telah menggalakkan berjuta-juta orang mula bekerja, belajar dan berhubung secara digital. Namun, pada masa yang sama krisis ini turut mendedahkan orang ramai kepada ancaman siber, termasuk Malaysia.

“Pembasmian kemiskinan akan menjadi lebih mencabar. Jumlah penduduk miskin bukan sahaja akan meningkat di Malaysia tetapi juga di negara-negara APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian di dalam ucapan penutup secara maya dalam Bengkel APEC mengenai Masyarakat Digital Inklusif: Mengurangkan Kemiskinan dan Mempertingkatkan Taraf Kehidupan menerusi Peningkatan Pertumbuhan Ekonomi yang diadakan pada 8 dan 9 Jun lepas, di Guizhou, China.

Selain itu, beliau berkata meskipun teknologi membawa banyak manfaat, pendidikan kekal menjadi faktor utama dalam menghapuskan kemiskinan, dan kerajaan telah bekerjasama dengan kolej dan universiti untuk melahirkan graduan yang relevan dan berketerampilan untuk industri  Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

“Ramai belia di Malaysia mula melibatkan diri dalam industri pertanian yang kini menerapkan konsep pertanian pintar. Dengan teknologi seperti IoT atau sistem daya jejak, rantaian bekalan makanan akan dapat ditambah baik, serta keselamatan makanan dan ketelusan pengeluaran akan dapat ditingkatkan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan