DUNIA

Thailand bakal peroleh lebih banyak vaksin ketika pelaksanaan vaksinasi besar-besaran

09/06/2021 01:17 AM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 8 Jun  -- Thailand bakal memperoleh 25 juta dos vaksin COVID-19 Pfizer dan Johnson & Johnson, dalam usaha kerajaan negara itu mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi di tengah-tengah pelaksanaan vaksinasi besar-besarannya yang dilancarkan pada Isnin.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengumumkan kerajaannya akan memperoleh lebih banyak vaksin selain yang dibeli sebelumnya.

Menurut beliau vaksin Pfizer dan Johnson & Johnson dijangka dihantar pada separuh kedua tahun ini. Namun, Prayuth tidak memperincikan jumlah setiap vaksin.

"Thailand akan membeli tambahan 8 juta dos vaksin Sinovac ... Kami berharap dapat mencapai 100 juta dos vaksin keseluruhan tahun ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet mingguan hari ini.

Sebelumnya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata Thailand akan membeli 20 juta dos Pfizer dan 5 juta dos vaksin Johnson & Johnson.

Pada Isnin, Thailand memulakan kempen vaksinasi COVID-19 besar-besaran bertujuan memvaksin 70 peratus daripada hampir 70 juta penduduknya pada akhir tahun ini untuk mencapai kekebalan kelompok.

Sementara itu, Thailand mencatatkan 2,662 kes COVID-19 baharu dan 28 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan terkini 182,548 dan 1,297 kematian.

Daripada 2,662 kes baharu, 2,646 adalah jangkitan tempatan dengan 617 dikesan melalui pengesanan kes aktif dan 16 kes import. Kes baharu termasuk 534 banduan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata Bangkok mencatat jumlah kes tertinggi pada 1,098, diikuti 269 di Samut Prakan dan 80 di Pathum Thani.

Beliau mengatakan kematian baharu melibatkan 17 wanita dan 11 lelaki berusia antara 40 hingga 92 tahun termasuk 23 di Bangkok dan masing-masing satu di Chachoengsao, Nakhon Ratchasima, Ratchaburi, Pathum Thani dan Surat Thani.

Menurut beliau, terdapat 74 kelompok di 35 daerah di Bangkok termasuk di kem pekerja pembinaan, kilang dan pasar.

"Sebanyak 49,252 pesakit masih dirawat di hospital termasuk 1,281 dalam keadaan serius dan 359 memerlukan bantuan ventilator," katanya semasa taklimat harian COVID-19 hari ini.

Setakat ini, 4.63 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sama ada AstraZeneca atau Sinovac.

Sementara itu, ketika Phuket membuat persiapan untuk menyambut pelancong yang diberi vaksin mulai 1 Julai, seramai 400,000 penduduk di pulau peranginan itu telah menerima dos pertama vaksin COVID-19.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan