EKONOMI

FGV Integrated Farming meterai perjanjian beli MSM Perlis pada RM175 juta

08/06/2021 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun -- Anak syarikat milik penuh FGV Holdings Bhd, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF) pada Selasa menandatangani Perjanjian Jual Beli Saham (SSA) dengan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) berkaitan penjualan dan pembelian 100 peratus kepentingan MSM Perlis Sdn Bhd (MSM Perlis) pada RM175 juta.

MSM Perlis merupakan anak syarikat milik penuh MSM.

MSM pula merupakan firma dengan 51 peratus kepentingannya adalah milik kumpulan FGV.

Perjanjian tersebut adalah lanjutan daripada lembaran terma yang ditandatangani antara MSM dengan FGVIF pada 30 April, 2021.

“Penjualan tersebut dilakukan berikutan penghentian operasi bukan strategik di MSM Perlis sebagai sebahagian daripada strategi rasionalisasi MSM untuk menyelaraskan keuntungan dan mengembangkan kemampuan operasi.

“MSM akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk mendapatkan persetujuan daripada pemegang saham, yang dijadualkan pada suku ketiga 2021. Transaksi disasarkan selesai sebelum akhir tahun ini,” menurut FGV dan MSM menerusi kenyataan bersama pada Selasa.

Kedua-dua pihak menjelaskan, MSM Perlis memegang 11 bidang tanah pertanian dan perindustrian yang telah diperuntukkan bagi pembangunan Lembah Agro Chuping FGV (FCAV) di Perlis oleh FGVIF, sektor baharu di bawah kumpulan FGV.

Pembangunan itu merangkumi aktiviti perladangan tanaman kontan bersepadu bernilai tinggi seperti nanas MD2 dan mangga harumanis serta penternakan tenusu, jelas kedua-dua pihak.

Mereka juga memaklumkan, keputusan-keputusan berkenaan telah diberi mandat oleh kedua-dua pihak lembaga pengarah untuk kepentingan terbaik kumpulan demi mengoptimumkan potensi aset dan memperkukuh struktur modal.

“Sebagai syarikat-syarikat senaraian awam, pihak berkepentingan akan terus dilibatkan dan pendedahan maklumat akan dibuat tepat pada masanya.

“Menerusi panduan pelan dan strategi perniagaan, FGV dan MSM akan tetap utuh dalam mempertahankan perjalanan pembaikpulihan dan membangunkan syarikat melalui peluang-peluang yang mendatang,” menurut kedua-dua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata penjualan MSM Perlis merupakan sebahagian daripada rangka kerja MSM dalam menjana pendapatan melalui aset bukan teras untuk memperkukuh dan meningkatkan prestasi kewangan.

“Pendapatan luar biasa akan dapat direalisasikan sebagai sebahagian daripada cadangan penjualan dengan anggaran keuntungan RM91.6 juta. Ia juga untuk meningkatkan tahap operasi kami terutama dari segi kadar penggunaan (UF) dan peningkatan hasil di MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd (MSM Johor),” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata selain penjualan, kerja-kerja penambahbaikan dipercepatkan yang dirancang di MSM Johor juga akan menyokong sasaran MSM ke arah mencapai kadar UF minimum sebanyak 50 peratus pada suku ketiga 2021.

Sementara itu, Pegawai Bertanggungjawab merangkap Pengarah Bahagian Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan Kumpulan FGV, Azman Ahmad berkata pihaknya gembira untuk melaksanakan pengembangan projek FCAV ke arah merealisasikan inisiatif strategik FGVIF.

“Ini sejajar dengan saranan kerajaan untuk memperkuat sektor ekonomi domestik dan memberikan peluang pekerjaan dalam mengurangkan impak pandemik,” katanya.

Sehingga kini, lebih 50 petugas dan pekerja di lapangan telah diambil bekerja untuk projek ini di samping seluas 60 hektar telah diperuntukkan untuk program usahawan agro menerusi skim pertanian kontrak projek Nanas MD2.

Pengambilan usahawan agro pertama dijangka berlangsung pada Julai 2021.

Azman berkata FGVIF telah memulakan kerja-kerja pembangunan tanah untuk ladang nanas MD2 seluas 1,200 hektar dengan disasarkan selesai pada 2025.

Menurut kenyataan itu juga, sejak penanaman tebu ditamatkan pada 2011, MSM Perlis terus mengurus tanah pertanian tersebut dengan tanaman getah, kelapa sawit dan mangga.

Bagaimanapun, susulan prestasi yang tidak mampan berkaitan dengan kos operasi yang tinggi untuk mengekalkan aktiviti perladangan, MSM Perlis telah menghentikan sektor perladangan pada 30 Jun, 2019, menurutnya.

Sementara itu, operasi penapisan gula telah dihentikan setahun kemudian berikutan rasionalisasi kapasiti MSM untuk menyatukan pengeluaran di kilang baharu, MSM Johor.

Tambahan pula, lokasi MSM Perlis dari pelabuhan adalah sesuatu yang tidak menguntungkan, keupayaan yang kecil dan kos kemudahan yang tinggi telah menyebabkan operasi menjadi tidak ekonomik, jelasnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan