EKONOMI

EKSPORT MALAYSIA DAPAT MANFAAT DARIPADA TREND MENAIK IMPORT CHINA

08/06/2021 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun -- Eksport Malaysia dijangka terus mendapat manfaat daripada trend positif prestasi import China memandangkan negara itu adalah destinasi eksport terbesar di Malaysia.

Dalam nota penyelidikan hari ini, MIDF Research menyatakan perdagangan luar China diunjurkan terus mempamerkan prestasi cemerlang dalam beberapa bulan mendatang, disokong oleh pemulihan berterusan dalam permintaan global dan harga komoditi yang lebih tinggi.

"Ini akan terus menguntungkan prestasi eksport Malaysia dalam bergerak ke hadapan. Prestasi yang kuat dalam perdagangan luar berfungsi sebagai penampan kepada risiko kejatuhan permintaan domestik di Malaysia, yang dikaitkan dengan dengan sekatan yang dilaksanakan pada masa ini untuk mengekang COVID-19, " katanya.

Menurut MIDF Research, lebihan dagangan China mengecil kepada US$45.5 bilion pada 21 Mei, 2021 daripada US$61.9 bilion pada bulan yang sama tahun lalu kerana import melonjak lebih cepat daripada eksport.

"Eksport meningkat 27.9 peratus tahun ke tahun sementara import mengukuh 51.1 peratus tahun ke tahun. Peningkatan berterusan dalam penghantaran keluar pada 21 Mei berlaku walaupun terdapat beberapa kebimbangan termasuk pengukuhan nilai yuan, kos bahan mentah yang lebih tinggi, kekurangan cip global, kapasiti yang lebih rendah di Guangdong kerana lonjakan kes COVID-19 dan kesulitan logistik,” jelasnya.

Mengikut produk, firma penyelidikan itu berkata penjualan China meningkat untuk produk antaranya produk keluli dan nadir bumi, sementara bagi destinasi, penghantaran ke semua negara rakan dagang utama meningkat, termasuk ke ASEAN, Kesatuan Eropah, AS, Taiwan , Korea Selatan, dan Jepun.

Bagi import pula, MIDF Research berkata  ia adalah pertumbuhan paling mantap sejak 11 Jan, 2021 kerana permintaan dalam negeri mengukuh selain kesan rendah tahun lalu dengan pembelian meningkat, antaranya termasuk untuk gas asli, kacang soya dan getah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan