AM

PKPD di beberapa lokaliti di Sabah, Sarawak Dan Pahang, mulai 5 Jun 

03/06/2021 09:18 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jun -- Beberapa lokaliti di Sabah dan masing-masing satu di Sarawak dan Pahang, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 5 hingga 18 Jun ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

PKPD itu melibatkan Rumah Panjang Sigah anak Lak, Sungai Baoh Burak, Dalat di Mukah, Sarawak dan di Ladang Chin Teck, Muadzam Shah di Rompin, Pahang.

Di Sabah, kawasan terlibat adalah Kampung Pengaraban di Kudat, Kampung Sugud di Penampang, selain empat lokaliti di Tawau iaitu Taman Milenium, Taman Wawasan, Kawasan Semarak dan Kampung Jawa Kongsi 10.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan, terdapat peningkatan kes COVID-19 yang amat ketara di lokaliti terbabit, maka pelaksanaan PKPD ini memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes COVID-19, supaya dapat diasingkan secepat mungkin.

“Ini juga memudahkan KKM menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko, ke lokaliti lain,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP di sini hari ini.

Sementara itu, PKPD di Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan dan di 15 buah mukim dalam daerah Besut, Terengganu yang dijadual tamat esok, dilanjutkan mulai 5 hingga 18 Jun.

Ini berikutan KKM mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk, serta terdapat juga kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan PKPD di enam mukim di Perak iaitu Pengkalan Hulu, Taiping, Hulu Kinta (Lahat, Chemor, Ipoh dan Tanjung Rambutan), Hulu Bernam Timur, Bagan Serai dan Parit Buntar ditamatkan esok.

“PKPD di Bagan Serai dan Parit Buntar dijadualkan tamat pada 9 dan 10 Jun namun ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan, manakala mukim yang lain ditamatkan mengikut jadual,” katanya.

Kawasan lain yang ditamatkan PKPD mengikut jadual adalah Rumah Awam Kos Rendah Pelagat 3, Besut, Terengganu; Rumah Banjir Kuala Teh, Jerantut, Pahang; Kampung Terusan, Mukim Limbat, Pasir Tumboh, Kelantan;  Kampung Boyan, Kuching, Sarawak; Kampung Indani, Semporna dan Kampung Pisang, Tawau, Sabah.

Penamatan PKPD di kesemua lokaliti itu dibuat setelah KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal, manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

Sementara itu mengulas mengenai kes ingkar PKP, beliau berkata 987 individu ditahan semalam dengan 939 dikompaun, manakala 47 lagi direman dengan kesalahan tertinggi tidak memakai pelitup muka (218), gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (135) dan membawa penumpang berlebihan (127).

Ismail Sabri berkata pada masa sama, seramai 11 pendatang tanpa izin diberkas dan sebuah kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng, selain 184 buah bot atau kapal dikesan di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan.

Mengenai saringan wajib pekerja asing pula, beliau berkata 102 warga asing telah menjalani ujian saringan semalam dan daripada jumlah itu, seorang didapati positif COVID-19.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan