AM

MAFI komited ‘meremajakan’ sektor pertanian

09/04/2021 03:47 PM

KEPALA BATAS, 9 April -- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus berusaha untuk “meremajakan” sektor pertanian dengan meningkatkan penglibatan generasi muda serta memastikan mereka berada di landasan yang tepat melalui pelbagai kursus di bawah Program Agropreneur Muda dan Geran Agropreneur Muda (GAM).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata kerajaan berjaya meningkatkan penglibatan golongan muda pada tahun 2020 apabila seramai 1,149 orang menerima geran berjumlah RM21.7 juta berbanding 750 orang pada 2019 dan 785 orang pada 2018.

Beliau berkata GAM yang berbentuk barangan ini mampu meningkatkan pengeluaran hasil dan menambah pendapatan agropreneur muda, dengan kementerian memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk 750 usahawan muda pada tahun ini.

“Kursus-kursus berkaitan perniagaan sentiasa diadakan untuk memberi pendedahan kepada usahawan pertanian dan agromakanan, dan melayakkan mereka untuk mendapatkan bantuan geran sehingga RM20,000.

“Penglibatan lebih ramai orang muda sekali gus dapat membantu kementerian untuk meningkatkan pengeluaran sektor pertanian kerana golongan ini mahir menggunakan teknologi moden, automasi dan mekanisasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Agropreneur Muda Rancangan Perniagaan di sini hari ini.

Katanya skop program ini menyediakan bantuan geran berbentuk barangan sehingga RM20,000 bagi projek baharu, bantuan modal melalui Pakej Pembiayaan Khas TEKUN Nasional sehingga RM50,000 dan Pakej Pembiayaan Agro-YES melalui Agrobank sehingga RM500,000 bagi projek pengembangan.

Che Abdullah turut menyampaikan cek cura GAM bernilai RM960,000 yang melibatkan seramai 51 penerima di Pulau Pinang.

Seorang penerima, Kuzyriyn Shatiza Abdullah Kuzairi, 38, berkata beliau akan menggunakan bantuan RM20,000 tersebut bagi menambah peralatan serta meningkatkan kapasiti pengeluaran produk kek, roti dan pastri yang telah dijalankannya sejak 2008 dan ini merupakan pertama kali beliau menerima bantuan seumpamanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan