AM

Op Khas Jangkar Haram di perairan Tompok Utara Johor diteruskan

26/03/2021 10:10 PM

JOHOR BAHRU, 26 Mac  -- Operasi Khas Jangkar Haram di perairan Tompok Utara Johor diteruskan hari ini dengan menggunakan modus operandi gempur dan periksa mengejut terhadap kapal-kapal yang disyaki berlabuh secara haram dan mencurigakan.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata modus itu terpaksa dilaksanakan berikutan kedegilan sesetengah nakhoda kapal yang masih berlabuh secara haram dan enggan memberikan kerjasama untuk diperiksa.

Beliau berkata penggempuran dan pemeriksaan mengejut dilakukan oleh Pasukan Tindakan Khas (STAR Team) bersama pesawat udara dengan menggunakan teknik 'fast roping'.

“Operasi ini melibatkan dua pasukan STAR Team, satu pesawat AW139 serta 11 aset laut yang digerakkan serentak bagi mengesan dan mengenal pasti kapal-kapal yang enggan memberikan kerjasama untuk diperiksa.

“Op Khas Jangkar Haram ini dilaksanakan dengan intensiti yang tinggi bagi mengatasi isu tersebut dalam masa yang singkat,” kata Nurul Hizam dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu sejak operasi dilancarkan pada Rabu lepas, jumlah kapal yang masih berdegil dan bersauh secara haram berkurangan kepada 67 kapal hari ini berbanding 105 buah pada hari pertama operasi.

Pengurangan statistik itu katanya, menunjukkan perkembangan positif dan diharapkan penurunan berkenaan berterusan.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga semua kapal yang berlabuh mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dalam Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) atau keluar dari perairan Johor dengan segera.

“Keberkesanan operasi ini juga hasil sokongan hebahan agensi media tempatan dalam membantu usaha-usaha meningkatkan kesedaran dan kepatuhan undang-undang dalam kalangan pemain industri perkapalan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan