AM

Rasuah: Kita tetap gagal - Hussamuddin Yaacub  

29/01/2021 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan -- Malaysia akan terus gagal dalam memerangi rasuah tanpa kesungguhan politik dan kesedaran setiap lapisan rakyat untuk menggerakkan usaha membasmi amalan buruk itu yang boleh menghancurkan negara.  

Natijah rasuah membawa kehancuran peradaban manusia yang semakin parah dan seakan tiada kesudahan ini memerlukan gelombang reformasi setiap pihak, selain mengkaji dan memperbaharui serta menghapuskan kebiasaan memberi sogokan untuk mendapatkan keuntungan sendiri.

Dalam warkah terbuka kepada pemimpin dan rakyat Malaysia yang disiarkan akhbar Sinar Harian hari ini, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata kebersamaan ke atas toleransi sifar terhadap rasuah perlu digemblengkan semua pihak dan bukan kerajaan semata-mata kerana wabak korupsi perlu dikawal sebelum masyarakat hilang kepercayaan terhadap individu dan sesebuah kepimpinan.

"Melakukan reset, reboot dan reformasi terhadap sesebuah sistem yang korup memerlukan masa. Ia melibatkan pembentukan benteng yang kukuh ketika berdepan amalan rasuah di mana-mana peringkat sekalipun.

“Kita mesti segera bergabung dan melaksanakan peranan masing-masing untuk berjihad menggempur rasuah termasuk menggunakan media sosial jika ingin membina legasi Malaysia yang lebih baik selain memulihkan nilai moral serta ekonomi negara,” menurut nukilan warkah 87 perenggan dalam akhbar tabloid itu.

Menurut Hussamuddin, dalam suasana wabak dan ekonomi yang mencabar, negara turut berhadapan dengan soal integriti dan rasuah hinggakan penuh di dada akhbar mengenai salah laku penjawat awam terutama mereka yang terlibat dengan urusan penguatkuasaan undang-undang dan menjaga kepentingan serta keselamatan negara.

"Kita harus akui yang kita sedang bergelut dengan masalah besar yang tidak pernah kita lalui sebelum ini; isu pandemik COVID-19, ekonomi, kelaparan, pereputan moral, perebutan kuasa, negara dalam keadaan berpecah-belah terutama dalam kalangan orang Melayu yang menjadi majoriti di negara ini.

“Ia membawa kepada tipu menipu, lenyapnya kepercayaan dalam kalangan rakyat kepada pemimpin, salah guna kuasa, masalah air, penjarahan harta dan alam oleh tangan-tangan yang rakus, banjir dan masalah yang timpa menimpa sehinggakan situasi semakin gawat, semua formula dan strategi pelaksanaan yang tidak menjadi,” katanya.

Hussamuddin berkata Malaysia sudah 63 tahun merdeka dan pucuk pimpinan kerajaan silih bertukar tangan, namun ketirisan masih lagi wujud yang mengakibatkan negara terperosok ke kedudukan 57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia tahun lepas berbanding 51 pada 2019.

“Kita perlu memperkukuh institusi sedia ada seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai antara badan-badan yang berhak dihormati kerana menjulang nilai integriti demi menyelamatkan rakyat,” katanya.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi 2020 jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga 51 pada 2019. Semalam, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100 berbanding skor  53 peratus pada tahun sebelumnya. 

Hussammuddin berkata Malaysia perlu bangkit dari tidur lena berbantalkan normalisasi rasuah kerana ia akan menghancurkan ekonomi negara, pelebaran jurang miskin dan kaya, menggugat kestabilan sosioekonomi dan memberi gambaran amat buruk kepada pelabur luar.

Beliau menarik perhatian bahawa rakyat, sebagai aset negara, boleh memainkan peranan dengan menjiwai prinsip Rukun Negara selain tidak bergaduh sesama sendiri menuding jari selain merefleksi diri bahawa setiap agama menolak amalan budaya tidak sihat rasuah dan penyelewengan.

Kesedaran dan pendidikan berkaitan rasuah boleh memperbetul ekosistem yang kotor dibayangi amalan penyelewengan dan ketirisan, sekali gus membentuk sebuah negara yang memperjuang toleransi sifar terhadap rasuah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan