SUKAN

Jurulatih dari Itali dijangka sertai Kelantan

21/11/2020 07:36 PM

KOTA BHARU, 21 Nov -- Pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman hampir pasti memilih Ketua Jurulatih dari Itali bagi memperkasakan pasukan itu dengan “ramuan” Itali dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Norizam berkata ketika ini rundingan dengan calon ketua jurulatih itu sudah masuk ke fasa terakhir dan jurulatih itu menunjukkan minat bersama Kelantan.

"Jurulatih itu dilihat selesa dengan tawaran yang diberikan oleh Kelantan FC serta bersedia untuk menerapkan corak permainan baharu.

Saya juga sedang melengkapkan senarai penolong jurulatih untuk bersama dengan pengendali dari Itali itu nanti," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan pemilik pasukan Kelantan melakukan rombakan besaran terhadap barisan jurulatih apabila tidak menyambung kontrak ketua jurulatih musim ini Yusri Che Lah dan tiga pembantunya Tengku Hazman Raja Hassan, Azli Mahmood dan Ismail Chawalit Abu Bakar.

Norizam berkata apabila kesemua perkara dilengkapkan, pihaknya akan mengumumkan  senarai penuh barisan jurulatih Kelantan musim 2021.

"Saya yakin barisan jurulatih yang dipilih itu mampu melaksanakan tugas dengan baik dalam usaha membawa masuk perubahan kepada permainan pasukan musim depan.

Saya  berharap seluruh penyokong dapat berdiri teguh dalam mengembalikan semula Kelantan FC ke landasan mentaliti kejuaraan," katanya.

Katanya besar harapan beliau untuk melihat musim depan Kelantan FC tampil dengan semangat baharu iaitu tidak mudah mengalah walaupun berdepan dengan tekanan tinggi semasa perlawanan.

"Sekarang ini perlu akui pasukan ketinggalan, saya mahu pemain bangkit untuk memastikan kita berjaya menang.

Buat masa ini, saya tidak mahu mendedahkan jurulatih itu...sabar apabila selesai nanti kita akam umum," katanya.

Kelantan yang kini dikenali sebagai Kelantan FC menamatkan saingan di kedudukan keenam dalam saingan Liga Premier dan kemudiannya layak ke Piala Malaysia, musim 2020.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan