SUKAN

Sukan satukan perpaduan rakyat Malaysia

23/11/2019 09:05 AM

Laporan eksklusif oleh Zuriati Zulmi

KUALA LUMPUR, 23 Nov -- "We are Malaysia on fire!".

Betapa laungan bersemangat 554 atlet negara yang menggegarkan dewan perhimpunan akhir kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Filipina, baru-baru ini, jika diterjemahkan mereka begitu teruja untuk mengharumkan nama negara pada temasya sukan itu yang akan membuka tirai secara rasmi pada 30 Nov ini.

Semboyan dilaungkan sekuat hati ketika perhimpunan selama tiga hari berakhir semalam di Bangi itu, jelas menggambarkan ‘untuk siapa mereka berjuang dan apa yang melekat di sanubari barisan atlet’ iaitu atas nama MALAYSIA.

Perjuangan atlet pada temasya itu tidak lain dan tidak bukan, hanya untuk memastikan Jalur Gemilang berkibar megah dan memastikan Negaraku berkumandang di bumi Filipina, tanpa mengira warna kulit mereka, apa agama mereka dan apa sukan mereka sertai.

Di bawah satu bumbung mereka berkumpul, menjalin kemesraan yang terputus seketika bukan sebab perselisihan faham tetapi atas desakan serta tuntutan hakiki mereka sebagai atlet negara.

Mengharungi kehidupan sebagai atlet kebangsaan, jadual mereka sudah pastinya sentiasa padat dengan latihan, kejohanan dalam dan luar negara serta tidak kurang juga yang menjalani latihan di bumi asing.

Pada era serba canggih, memang diakui media sosial menjadi medium terbaik untuk menghubungkan antara individu namun pada realitinya, cara tradisional dengan pertemuan secara fizikal lebih membentuk keakraban luar biasa.

Jaguh boling padang negara, Siti Zalina Ahmad menegaskan dalam kalangan atlet tidak mempunyai masalah pergaulan walaupun berlainan sukan, bangsa, agama dan budaya.

Beliau yang sudah enam kali menyertai Sukan SEA sejak edisi 1999 di Brunei menyifatkan perhimpunan akhir anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) itu sebagai medan 'reunion' bagi atlet senior manakala 'booster' bagi atlet yang  membuat penampilan sulung.

Katanya, objektif perhimpunan akhir itu mencapai matlamat, bukan sahaja dapat membakar semangat berpasukan dalam kalangan atlet negara tetapi juga membolehkan mereka mengenali antara satu sama lain.

"Lebih 300 atlet kali pertama (sertai Sukan SEA), jadi melalui perhimpunan ini kami dapat kenal antara satu sama lain sebab sebelum ini hanya kenal melalui alam maya...dan ada kalangan atlet senior menjadi idola kepada atlet baharu.

"Objektif kem ini, pada pendapat saya berjaya kerana baik pegawai, atlet mahupun pengurus pasukan, saling mengenali. Sekurang-kurangnya selepas ini, bila jumpa walaupun tidak ingat nama tapi kerana pakai baju kontinjen, kita akan kenal dan tidak segan silu menegur," katanya kepada Bernama.

Bagi Presiden Persekutuan Wushu Malaysia Datuk Chong Kim Fatt, dalam sukan, isu bangsa dan agama ditolak tepi, sebaliknya minat dan semangat menjadi tunjang penyatuan dalam kalangan atlet.

Chong, yang juga ahli exco badan sukan wushu di peringkat antarabangsa menjelaskan wushu tidak lagi dimonopoli masyarakat Cina sahaja tapi sudah menjadi sukan global apabila menobatkan atlet wanita berhijab dari Iran sebagai juara dunia kategori Sanda.

"Dalam sukan, kita tidak ada cakap tentang bangsa. Kita hanya ada satu minat dan satu semangat sama walaupun siapa menang kita akan menjerit. Tidak kisah awak adalah Yang Berhormat atau tidak, kita akan berpelukan (bila berjaya).

"Malaysia adalah satu tanah air yang cantik dan mempunyai kepelbagaian bangsa yang istimewa sekali. Kita boleh duduk sama, kita boleh bermain dan bersembang bersama-sama," katanya.

Jaguh tenpin boling negara, Muhammad Rafiq Ismail berkata rakan atlet adalah ibarat keluarga dan apa jua perjuangan yang bakal ditempuh di bumi Filipina, adalah satu medan pertempuran yang akan dihadapi bersama demi memperjuangkan maruah Malaysia.

"Kami (atlet) adalah serumah dan titik peluh kami adalah bersama-sama. Saya sentiasa anggap yang lain-lain itu adalah adik-beradik, keluarga saya sendiri. Kami dalam pasukan boling pun dah macam keluarga...memang rapat," katanya yang diberi tanggungjawab membawa Jalur Gemilang di Filipina nanti.

Rasa kekok juga tidak ada dalam kamus kehidupan jurulatih olahraga negara, M. Balamurugan yang dikelilingi atlet berbilang kaum antaranya ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli dan jaguh pecut Jonathan Nyepa.

Malah, katanya, walaupun Zaidatul Husniah berbangsa Melayu, Jonathan berbangsa Dayak dan ada beberapa atlet junior berbangsa Cina, ia tidak membataskan pergaulan mereka, malah mereka boleh 'lepak' bersama-sama dan tanpa segan untuk bergurau.

"Dalam kumpulan sukan kami ini, hubungan antara kami sangat akrab. Saya dan Husniah sudah macam adik-beradik, pergi makan pun sekali. 

"Macam sebelum ini, ketika Husniah hendak ke luar negara dan adakan kenduri doa selamat dan tahlil. Kami pergi join kerana bagi kami dalam sukan ini memang tiada perbezaan. Begitu juga ketika sambutan Deepavali, saya bawa maruku bagi semua makan dan kami sangat gembira meraikan macam-macam perayaan.

"Atas trek kami adalah jurulatih dan atlet tetapi bila di luar, kami adalah kawan," kata Balamurugan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan