KOTA BHARU, 5 Nov -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan menyediakan 606 pusat pemindahan sementara melibatkan 1,066 kampung bagi menghadapi bencana banjir di Kelantan.
Pengarahnya, Said Sidup berkata seramai 13,000 mangsa banjir akan menerima bekalan makanan dalam tempoh tiga hari.
"Sekiranya banjir berlarutan, kami sudah berbincang mengadakan pembelian darurat menerusi pembekal di pasar raya seperti Mydin, Tesco dan Giant terutama bekalan barangan basah seperti sayur-sayuran dan telur," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Said berkata pihaknya menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan dan negeri sebanyak RM1.3 juta untuk bencana banjir di Kelantan.
"Peruntukan ini melibatkan pelbagai keperluan termasuk selimut, tuala, tikar dan pek alat kebersihan yang sudah ada di stor yang boleh digunakan mangsa banjir semasa berada di pusat pemindahan," katanya.
Said berkata keperluan semasa banjir tersebut disediakan di Depoh Simpanan di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini, selain terdapat 17 mini depoh di seluruh jajahan dan 209 pangkalan hadapan yang menyimpan barangan yang akan dibekalkan di pusat pemindahan apabila berlaku banjir.
Beliau berkata 412 kakitangan jabatannya bersedia bertugas dengan 336 daripada mereka akan bertugas atas panggilan di pusat gerakan dan JKM turut menyediakan sukarelawan banjir termasuk 11 ahli psikologi yang bertindak sebagai kaunselor termasuk Pasukan Sokongan Psikologi (PST) serta 194 sukarelawan daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan lain-lain.
"Di 606 pusat pemindahan pula, pihaknya turut melantik 5,454 jawatankuasa pusat yang dipilih Ketua Jajahan, yang bertindak sebagai tukang masak, menjaga kebersihan dan lain-lain tanggungjawab semasa berlaku banjir," katanya.
Beliau menasihatkan mangsa banjir supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa dan mengikuti arahan yang dikeluarkan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penyelamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial