AM

Belajar nilai perpaduan melalui sebatang jalan

27/10/2019 10:03 AM

Laporan Eksklusif Oleh: Fadzli Ramli

MELAKA, 27 Okt -- Kawasan Jonker Street sudah semestinya dikenali ramai rakyat Malaysia sebagai salah sebuah tempat tumpuan pelancong utama di negeri ini, namun sebatang jalan yang terletak di kawasan sama iaitu Jalan Harmoni menyimpan warisan yang tiada galang gantinya.

Jalan Harmoni atau nama asalnya Jalan Tukang Emas sejak ratusan tahun dahulu menjadi sebuah bukti toleransi rakyat berbilang kaum dan agama di sini, apabila menempatkan tiga rumah ibadat iaitu Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi, Masjid Kampung Kling dan Tokong Cheng Hoon Teng.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Khamis Abas berkata rakyat Malaysia terutama generasi muda seharusnya datang sendiri ke Jalan Harmoni untuk melihat sendiri bertapa sikap toleransi itu membentuk sebuah perpaduan utuh masyarakat suatu ketika dahulu.

"Saya harap dengan orang ramai terutama anak muda kita pergi lihat sendiri dan nilai sendiri apa yang ada di jalan itu, mereka akan faham dan menghayati toleransi yang ditunjukan melalui jalan itu, belajar lah nilai perpaduan yang kita kecapi ini sejak sekian lama.

"Generasi muda kita perlu terus amalkan sikap toleransi dan perpaduan ini serta kekalkan lah nilai keharmonian yang sedia kita kecapi. Jadikan lah jalan itu sebagai sebuah panduan bagi membina masa depan yang lebih gemilang secara bersama," katanya kepada Bernama.

Menarik perhatian, Khamis yang pernah menjadi Pengurus Besar Perzim sebelum ini merupakan antara individu penting memulihara warisan tiga rumah ibadat itu dan menurut beliau ia merupakan suatu kepuasan peribadi buat dirinya kerana dapat membantu memulihara warisan untuk generasi akan datang.

"Saya juga berharap agar semua rakyat terutama generasi muda bersama berganding bahu mencintai dan memulihara warisan serta budaya yang banyak kita ada terutama di negeri Melaka ini,” katanya dan jalan itu merupakan sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia Unesco.

Tinjauan Bernama di jalan itu bermula di Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi yang terletak di permulaan jalan dipercayai antara kuil tertua di negara ini dibina oleh masyarakat Chetti tempatan pada 1781 hasil kerjasama penjajah Belanda pada masa itu.

Terletak kurang 100 meter di sebelahnya, Masjid Kampung Kling yang dibina pada 1748 dengan struktur kayu sebelum ditukar kepada struktur batu pada 1872 mempunyai senibina unik dengan pengaruh daripada budaya Hindu dan Cina, dengan tiang mempunyai unsur Arab selain mempunyai menara berbentuk pagoda.

Di hujung Jalan Harmoni, Tokong Cheng Hoon Teng atau bermaksud Tokong Awan Hijau berdiri sejak tahun 1673 yang mana seni bina tokong itu dipengaruhi oleh kehidupan masyakat Cina pada waktu itu dan tokong itu juga merupakan antara tokong tertua di negara ini.

C.Muniandy, 72, seorang pesara pos yang pernah tinggal di kawasan itu ketika zaman remajanya menceritakan kemeriah sambutan musim perayaan dikongsi bersama masyarakat Melayu, India dan Cina di kawasan itu, malah mereka tidak merasakan perayaan itu milik satu-satu kaum.

"Dahulu bila tiba Hari Raya Aidilfitri, ada makan-makan di masjid (Masjid Kampung Kling) ketupat, rendang dan lemang memang sedap lah. Bila tiba Tahun Baru Cina pergi tokong (Tokong Cheng Hoon Teng) perut kembung makan buah limau banyak sangat, Deepavali banyak dapat maruku percuma," katanya.

Lee Yeow Fong, 67, seorang peniaga cenderamata di jalan itu berkata beliau amat gembira melihat kanak-kanak berbilang bangsa bermain bersama dengan selamat di jalan itu suatu ketika dahulu dan masyarakat secara bersama menjaga keselamatan kanak-kanak tersebut.

"Dahulu kawasan rumah kedai ini peniaga dan penduduk ramai Cina, Melayu dan India semua ada. Semua hidup berjiran, kanak-kanak datang rumah main semua seronok. Paling seronok saya tengok bila Tahun Baru Cina semua seronok main mercun depan tokong," katanya.

Md Asan Abdollah, 81, seorang pesara tentera berkata di sebalik Jalan Harmoni dikunjungi pelancong, beliau agak terkilan kerana tidak ramai rakyat tempatan terutama anak muda yang datang ke kawasan itu, yang mana menurut beliau mungkin kerana kurang penganjuran aktiviti.

"Tentu suka ramai pelancong datang dan tempat ini menjadi tarikan pelancong, tetapi saya harap anak muda datang sini, kalau boleh beribadat di sini. Beragama Islam kita solat berjemaah sama-sama. Saya harap pihak berwajib seperti kerajaan negeri anjurkan banyak aktiviti untuk orang muda di sini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan