FOKUS BERNAMA

1001 Dimensi Industri AgroMakanan Sabah

22/08/2019 02:21 AM

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU (Bernama) -- Perjalanan lebih 1,600 kilometer merentasi tujuh daerah di Sabah pastinya memberi pengalaman berharga buat 60 peserta Kembara Media Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), terutama bagi yang baharu pertama kali menjejakkan kaki ke ‘Negeri di Bawah Bayu’ ini.

Keterujaan peserta yang merangkumi pegawai termasuk pegawai perhubungan awam kementerian, pelbagai jabatan dan agensinya serta beberapa pengamal media terserlah ketika sesi taklimat permulaan program itu di pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kota Kinabalu, di sini.

Kota Kinabalu adalah destinasi pertama untuk peserta dari Semenanjung dan Sabah berkumpul serta beramah mesra sebelum memulakan perjalanan ke daerah lain.

“Kembara media ini memberi peluang mempelajari dan mengetahui geografi serta kepelbagaian budaya di Sabah kerana ia menggambarkan pelbagai aktiviti pertanian masyarakat daerah ,asing-masing,” kata Pengarah LPP Sabah Anita Misuari pada taklimat itu.

 

DEKATI MASYARAKAT TANI

Sabah dipilih untuk program Kembara Media MOA selama tiga hari mulai 12 Julai lepas, bagi menerokai dan memberi publisiti meluas mengenai pembangunan industri pertanian serta potensi agromakanan negeri ini.

“Ia juga medium prapublisiti Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019 yang bakal berlangsung pada 28 Nov hingga 1 Dis di Plaza Angsana Johor Bahru, Johor serta Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa 2020 kelak,” kata Urusetia Kembara Media MOA Chindarayareh Jinti kepada Bernama.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MOA Nur Azwani Md Azizan berkata program kembara itu memberi peluang melihat dimensi baharu sekali gus membentuk kerjasama pelbagai pihak berkaitan dalam memikirkan pendekatan terbaik untuk melonjakkan lagi industri pertanian di Sabah.

Kembara itu memberi pengalaman istimewa buatnya yang baharu setahun bertugas di MOA dan pertama kali ke Sabah, kerana dapat mendekati masyarakat petani, penternak dan peladang negeri ini.

 

LADANG TENUSU, AGRO PELANCONGAN

Keindahan panorama pagi, ketenangan dan kedinginan udara segar Kundasang, Ranau, menggamit perasaan peserta yang tidak sabar memulakan kembara ke Desa Dairy Farm, Kundasang, kira-kira 97 kilometer (km) dari sini.

Cuaca cerah menyerlahkan puncak Gunung Kinabalu, seolah-olah memahami keinginan peserta untuk merakam gambar kenangan di pekan Kundasang dan pintu masuk ladang berkenaan, yang berlatar belakangkan gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.

Ketibaan rombongan di ladang tenusu yang sinonim dengan jolokan Mini New Zealand Kundasang disambut Pengurus Kanan Syarikat Kumpulan DESA Emiliana Chin yang kemudiannya memberi taklimat mengenai perkembangan syarikat pengeluar produk tenusu terkenal di Sabah itu.

Sejak beroperasi pada 1980, syarikat itu berkembang maju dan tidak hanya menghasilkan susu segar berkualiti, malah mempelbagaikan produk tenusu seperti yogurt dan keju selain menambah cawangan pasar segar DESA ke seluruh Sabah.

Emiliana membawa peserta melihat persekitaran Desa Dairy Farm termasuk meninjau ladang ternakannya sebelum para peserta menikmati susu segar pelbagai perisa keluaran syarikat berkenaan.

“Tidak hairanlah ramai pelancong berkunjung ke ladang ini, pemandangannya memang mengasyikkan, tidak perlu ke luar negara untuk suasana begini,” kata Wartawan Sinar Harian Muhammad Shamsul Abd Ghani dari Kuala Lumpur.

Desa Dairy Farm yang terletak di kaki Gunung Kinabalu itu merekodkan kehadiran lebih tiga juta pelancong sejak 2010 hingga kini.

 

NADI PETANI SAYUR

Jelajah Kundasang diteruskan ke Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) dikelola Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu yang menjadi nadi petani sayur tanah tinggi memasarkan hasil pertanian.

Kundasang memang terkenal sebagai pengeluar sayur tanah tinggi segar khususnya kobis yang sudah tentu tidak mengecewakan kalangan pembelinya.

“PPK Kinabalu terlebih dahulu mengenal pasti kualiti sayur-sayuran yang dikumpul sebelum dihantar ke pasar raya,” kata Pengurus Besarnya Muhammad Irwan Maruji.

Bulatan Kobis di pekan Kundasang menjadi mercu tanda simbolik menggambarkan sinonim Kundasang sebagai pengeluar sayur kobis.

Peserta kembara berpeluang melihat sistem yang digunakan di PPHP seperti penerimaan, pembersihan dan pembungkusan bagi memastikan kualiti sayur-sayuran dan buah-buahan demi menjamin kepuasan pelanggan.

 

KEISTIMEWAAN BERAS ORGANIK

Seterusnya rombongan kembara melalui perjalanan kira-kira 50 km ke Kampung Tambatuon, Kota Belud untuk meninjau keunikan industri padi organik yang diusahakan penduduk di situ.

Perjalanan kira-kira sejam ke Kota Belud yang terkenal dengan jolokan jelapang padi Sabah ternyata berbaloi apabila ‘disambut’ kehijauan sawah padi serta deruan air Sungai Kadamaian yang jernih.

Timbalan Menteri MOA Sim Tze Tzin, yang menyertai kembara itu bagi merasmikan Pusat Informasi Padi Kampung Tambatuon, mahu Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud mengkomersialkan tanaman padi organik yang ditanam kerana mendapat permintaan meluas di pasaran.

Pesawah, Mazlin Kijoah, 31, berkata beras wangi keladi adalah antara produk padi organik yang diusahakan penduduk.

Katanya, IADA Kota Belud banyak membantu dalam teknik penanaman dan pembajaan padi, bagaimanapun beliau berharap sistem pengairan ditambahbaik kerana sering tersumbat ketika musim hujan.

Menariknya di sini, peserta berpeluang menikmati hidangan nasi daripada beras wangi keladi - yang nyata mempunyai rasa keladi dan sangat enak.

Keesokan harinya, rombongan kembara menghadiri majlis penyerahan jentera penuai padi oleh Menteri Pertanian Datuk Salahuddin Ayub khusus untuk Kumpulan Pengguna Air (KPA) Kampung Merabau, juga di Kota Belud, kira-kira 45 km dari Kampung Tambatuon.

Pengerusi KPA Kampung Merabau, Samdin Idham berkata bantuan jentera sudah lama ditunggu para pesawah di situ yang yakin akan dapat meningkatkan pengeluaran hasil padi sekali gus pendapatan mereka kelak.

 

TERNAKAN UDANG PITAS

Dua jam perjalanan dari Kampung Merabau (kira-kira 115 km), rombongan kembara tiba tapak projek ternakan udang di Pitas, Kudat

Salahuddin yang diiringi Ketua Setiausaha MOA Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan turut meluangkan masa meninjau projek dikendalikan Syarikat Sunlight Inno Seafood Sdn Bhd itu.

Projek yang beroperasi sejak 2012 itu mampu menghasilkan sebanyak 17,005 tan metrik udang bernilai RM395.9 juta sejak lima tahun lalu, malah mula mengeksport udang ke Korea pada tahun ini.

Salahuddin yang turut meninjau jeti pendaratan ikan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Marudu Pitas di Kampung Tambun, Kota Marudu mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk membaik pulih jeti berkenaan.

Beliau juga menyampaikan Bantuan Dana Nelayan sebanyak RM25,000 kepada lima nelayan PNK Marudu Pitas yang terpilih sebagai peserta perintis program penangkapan ikan pari.

Salah seorang penerima, Johari Sipin, 38, memberitahu bahawa dana itu adalah yang pertama diterima sejak 12 tahun menjadi nelayan, dan beliau akan menggunakannya untuk membeli peralatan menangkap ikan.

 

SABAH NEGERI BERTUAH

Pada hari terakhir, seawal pukul 6 pagi, rombongan kembara bergerak menuju Keningau, kira-kira 105 km dari Kota Kinabalu, melalui Jalan Kimanis yang merentasi Banjaran Crocker - banjaran yang memisahkan pantai timur dan barat Sabah.

Destinasi rombongan adalah kolam ternakan ikan Datuk Yap Yun Fook - usahawan pertanian terkemuka Sabah yang mendapat pengiktirafan MOA sebagai mentor usahawan Malaysia. Peserta juga berpeluang meninjau ladang lembu tenusu Eco-Yap serta tapak semaian penanaman nanas dan durian miliknya.

Yap yang mempunyai pengalaman 37 tahun sebagai usahawan tani yang memberi penerangan ringkas berkata sistem pengairan sangat penting bagi memastikan ikan ternakan berkualiti. Beliau menyajikan hirisan isi ikan segar yang digaul bersama kicap, cili dan jus limau nipis kepada para peserta.

Dua jam perjalanan seterusnya Kembara Media MOA tiba Kuala Penyu di mana Salahuddin mengumumkan RM200,000 untuk membina semula jeti pendaratan ikan, Jeti Sitompok di situ, pada majlis ramah mesra bersama nelayan setempat. 

Salahuddin berkata Sabah adalah negeri bertuah kerana mempunyai tanah subur dan rakyat boleh memanfaatkan kekayaan serta keindahan alam semula jadi untuk memajukan sektor pertanian.

“Banyak potensi sektor pertanian boleh dibangunkan di Sabah termasuk industri akuakultur, rumpai laut, dusun buah-buahan serta agropelancongan kerana geografi Sabah membolehkan sektor berkenaan dimajukan.

“Pendekatan turun padang dan memastikan peruntukan kerajaan sampai kepada golongan sasar adalah kata kunci kejayaan bagi memastikan setiap projek pertanian berjaya direalisasikan,” tambah beliau pada sidang media penutup Kembara Media MOA.

 

Disunting oleh Sarimah Othman

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan