BERITA TERGEMPAR | Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | |
ALOR GAJAH, 18 April (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan RM24 juta untuk membiayai pendidikan pelajar yang menerima tawaran kemasukan ke institusi pengajian tinggi bagi mengikuti program latihan dari peringkat sijil kemahiran hingga doktor falsafah (Ph.D).
Pengurus Besarnya Norashikin Shaharudin berkata daripada jumlah itu sebanyak RM2.25 juta diperuntukkan untuk pembiayaan biasiswa YBR bagi pelajar yang layak berdasarkan kecemerlangan akademik dan tahap sosio-ekonomi keluarga mereka.
Beliau berkata pada tahun ini yayasan menerima lebih 600 permohonan biasiswa YBR secara dalam talian, dan 30 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2018 telah terpilih untuk mengikuti saringan peringkat kem selama empat hari yang berakhir hari ini.
“Daripada 30 pelajar berkenaan, seramai 15 pelajar akan mendapat biasiswa penuh, lima pelajar dicadangkan untuk ditempatkan di universiti Australia, United Kingdom,Amerika Syarikat dan New Zealand, manakala 10 lagi di universiti tempatan.
"Pelajar lain yang mengikuti kem ini akan ditawarkan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah YBR, sekiranya mereka cemerlang pembiayaan ini boleh ditukar kepada biasiswa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan YBR Kem Pemilihan Biasiswa Pelajar di sini.
Norashikin berkata melalui biasiswa itu, YBR berhasrat untuk melahirkan ramai generasi muda yang mampu menjadi pemimpin negara di masa hadapan, pemantauan juga akan dilakukan bagi mengetahui perkembangan mereka dari semasa ke semasa.
"Diharap melalui biasiswa ini dapat membantu mereka yang memerlukan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di samping dapat memenuhi permintaan terhadap berketerampilan tinggi dalam sektor pekerjaan dan membangunkan kemahiran individu secara holistik.
"Kita tidak beri sahaja wang biasiswa, kita akan pantau keputusan mereka setiap semester dan pastikan mereka mendapat keputusan yang cemerlang. Selain itu YBR juga mempunyai kakitangan yang dapat membantu pelajar dari aspek motivasi dan kaunseling,” katanya.
Sementara itu, seorang daripada pelajar yang mengikuti kem tersebut Nur Ainna Mohd Azlan, 18, berkata peluang yang diberikan YBR itu dapat membantunya berusaha mengubah kehidupan keluarganya yang kini bergantung kepada ayahnya yang bekerja sebagai pemandu teksi.
"Peluang menghadiri kem pemilihan ini bukan sahaja memberi harapan kepada saya untuk mencapai cita-cita serta mengurangkan beban keluarga, tetapi juga memberi pengalaman serta meningkatkan keyakinan, membaiki cara komunikasi dan kebolehan berbahasa selain meluaskan pengetahuan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial