SEREMBAN, 21 Mac (Bernama) -- Awas, jangan merakam filem semasa menontonnya di pawagam kerana mungkin ada anggota penguat kuasa menyamar sebagai penonton yang akan menahan individu yang melakukan perbuatan itu.
Amaran itu datang daripada Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman pada sidang media Operasi Hak Cipta Membanteras Kegiatan Rakaman Dalam Panggung Wayang di sini, hari ini.
Beliau berkata mulai 6 Mac lepas, pihaknya telah menjalankan Operasi Hak Cipta dengan kerjasama pemilik panggung wayang di negeri ini bagi memantau kegiatan cetak rompak.
Beliau berkata, pihaknya banyak mendengar keluhan penggiat seni filem dan muzik mengenai karya mereka dicetak rompak dan kegiatan itu menyebabkan mereka kerugian berbilion ringgit.
Katanya, setakat ini enam pemeriksaan telah dilakukan di empat panggung wayang di daerah ini melibatkan 18 pegawai, namun setakat ini belum ada tangkapan dibuat.
"Bagaimanapun, pengguna diingatkan supaya tidak merakam filem semasa menonton di pawagam...anggota KPDNHEP itu menyamar sebagai penonton dan akan menahan individu tidak bertanggungjawab yang didapati merakam filem ditayangkan di panggung wayang," katanya.
Katanya karya seni telah dicetak rompak sejak 40 tahun lepas dalam pelbagai bentuk termasuk secara fizikal dan elektronik, bermula dengan era cakera padat (CD), video cakera padat (VCD) dan cakera Blue Ray.
"Apabila teknologi Internet berkembang, cetak rompak beralih ke dalam bentuk digital melalui laman web, YouTube, Facebook, Instagram dan Twitter untuk menonton, memuat turun lagu dan filem tertentu. Hormatilah hasil karya orang sebab mereka berusaha keras nak hasilkan.
"Sehubungan itu, Akta Hak Cipta 1987 dipinda pada 2012 dengan memasukkan Bahagian VIA bertajuk Antirakaman Kamera yang terkandung dalam Seksyen 43A," katanya.
Justeru, beliau mengingatkan bahawa mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hak Cipta 1987 yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial