FOKUS BERNAMA

Tragedi Sungai Kim Kim: Isu Perundangan Dan Kesedaran Awam

20/03/2019 12:18 PM

Oleh Prof Madya Dr Rasyikah Md Khalid

Penulis, Prof Madya Dr Rasyikah Md Khalid adalah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Undang-Undang,  Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pada akhir Februari 2019, Menteri Tenaga, Sains,Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin, mendedahkan fakta mengenai 25 sungai mati di Malaysia.

Enam belas sungai tersebut berada di Johor, lima di Selangor, tiga di Pulau Pinang dan satu di Melaka. Sungai-sungai ini dikategorikan sebagai Kelas 4 dan 5 iaitu pencemaran teruk dan tiada hidupan akuatik yang boleh hidup di dalamnya.

Menurut Standard Kualiti Air Kebangsaan (SKAK), sungai utama di Malaysia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sungai bersih, sungai sederhana tercemar, atau tercemar.

Sungai turut dibahagikan kepada enam kelas setelah diuji kualitinya iaitu Kelas 1, 2A, 2B, 3, 4 dan 5. Kualiti sungai ditentukan melalui 12 parameter seperti Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) dan Ammonia Nitrogen (NH3N).

Dalam hal ini, penyumbang utama BOD yang tinggi adalah sampah-sarap manakala penyumbang utama NH3N adalah najis binatang dan air kumbahan. Tidak lama selepas isu sungai mati di Malaysia dibincangkan, negara digemparkan dengan kes pencemaran toksik di Sungai Kim Kim.

Melainkan jika anda adalah pernah menetap atau bertugas di Pasir Gudang Johor, rata-rata rakyat Malaysia mengenali Sungai Kim Kim buat pertama kalinya pada 7 Mac 2019.

Ini ekoran laporan mengenai 103 orang pelajar dan penduduk sakit dan dimasukkan ke hospital akibat terhidu gas beracun. Selepas penyiasatan awal dibuat, pihak berkuasa mengenalpasti puncanya ialah daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.

 

Pada 11 Mac 2019, gelombang kedua tindakbalas gas beracun daripada bahan kimia di Sungai Kim Kim bermula. Seramai 106 mangsa baru dimasukkan ke hospital dengan jumlah mangsa mencecah 1000 orang beberapa hari kemudian, dan lapan daripadanya dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Ini kerana gas ini boleh menyerap ke dalam badan manusia melalui saluran pernafasan dan juga kulit. Beberapa gas beracun dihasilkan selepas reaksi air dan udara bersama bahan kimia tersebut.

Ia termasuk gas acrylonitrile, xylene, metana dan toluene yang boleh menyebabkan sakit kepala, loya, pengsan dan kesukaran bernafas.  

Tragedi Sungai Kim Kim adalah unik kerana ia bermula dengan pencemaran air dan diikuti oleh pencemaran udara.  Daripada aspek perundangan, pencemaran air sukar untuk dikuatkuasakan akibat pertindanan bidang kuasa pencemaran berpusat dan pencemaran tidak berpusat.

Di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974, Jabatan Alam Sekitar (JAS) hanya mempunyai bidang kuasa untuk menyaman pihak yang mencemarkan air secara berpusat dan dilesen untuk membuang sisa berjadual di bawah AKAS.

Oleh itu, JAS tiada bidang kuasa ke atas pencemaran tidak berpusat seperti kilang haram atau tidak berlesen, pasar basah, gerai makanan dan perumahan setinggan.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa pembahagian bidang kuasa ini menyebabkan banyak kes pencemaran sungai yang tidak didakwa dengan berkesan di Malaysia.

Hal ini dapat dilihat dalam kes pencemaran bau di Sungai Semenyih pada tahun 2016 yang didakwa berpunca daripada sebuah kilang haram.

Pencemaran ini menyebabkan loji rawatan air terpaksa dihentikan operasi beberapa kali dan mengganggu bekalan air kepada hampir dua juta orang penduduk.

JAS pada asalnya tidak mahu mengambil tindakan kerana kilang haram, namun kerajaan negeri mengarahkan penguatkuasaan bersepadu oleh semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan.  

 

Dalam kes Sungai Kim Kim, pencemaran sungai berlaku sekian lama dan Sungai Kim adalah sungai Kelas 3 iaitu sungai tercemar dan memerlukan rawatan intensif.

Menjadi kebiasaan kilang untuk melepaskan sisa pencemaran ke dalam sungai semasa hujan lebat dan pencemaran akan larut dan hanyut bersama air sungai yang deras.

Namun, akibat cuaca panas yang melanda negara beberapa bulan ini, bahan kimia yang dibuang tidak dapat bergerak jauh dan bahan kimia tersebut bertindakbalas dengan air dan cuaca panas menghasilkan gas beracun yang membahayakan orang ramai.

Sekiranya tiada tindakbalas bahan kimia tersebut dan hujan turun seperti biasanya, pencemaran Sungai Kim Kim akan berlalu tanpa tindakan seperti sebelum ini.

Kes Sungai Kim Kim adalah kes yang penting untuk dinilai daripada aspek penguatkuasaan dan perlindungan alam sekitar.

Hampir separuh sungai utama di Malaysia telah tercemar kerana tiada penguatkuasaan berkesan terhadap pencemar, samada daripada sumber berpusat atau tidak berpusat.

Ini adalah faktor penting yang menyebabkan pencemar atau pesalah, samada kilang haram atau ahli masyarakat yang lain, terus menerus menggunakan sungai sebagai tong sampah mereka. Ini turut menyumbang kepada peningkatan sungai tercemar dan sungai mati di negara kita.

 

Tragedi Sungai Kim Kim akan diingat dalam lipatan sejarah negara kerana gas merbahayanya. Tindakan pantas semua pihak sekarang mampu untuk membersihkan sisa toksik di Sungai Kim Kim dan melenyapkan gas merbahaya tersebut.

Namun perkara pokok yang tidak akan selesai adalah pencemaran sungai di Malaysia samada daripada kilang berlesen atau kilang haram, pasar basah, pusat penternakan haiwan, restoran, gerai-gerai makanan, setinggan atau pembuangan sampah oleh orang perseorangan.

Selagi mana sungai tidak dianggap sebagai sebuah jasad yang hidup dan memberi kehidupan kepada manusia, selagi itu manusia akan terus mencemarnya.

Penting agar masyarakat diberi kesedaran yang menyeluruh mengenai pencemaran sungai kerana sungai adalah punca utama sumber air kita dan tanpa air masyarakat tidak dapat meneruskan kehidupannya.

Sikap kealpaan masyarakat dan menyerahkan urusan pemeliharaan dan pemuliharaan sungai kepada pihak berkuasa sahaja tidak akan mengubah nasib kebanyakkan sungai kita yang hampir tidak bernyawa.

Hakikatnya, walaupun kita tidak tinggal berhampiran sebatang sungai, sebenarnya kita tinggal di lembangan sungai tersebut.

Ini kerana lembangan adalah kawasan tadahan hujan yang mengalir ke anak sungai dan akhirnya ke sungai utama tersebut.

Malah setiap sampah yang masyarakat buang di merata-rata tempat akhirnya akan masuk ke dalam sistem perparitan, kemudian ke kolam tadahan, ke anak sungai, ke sungai dan ke laut.

 

Masyarakat juga salah anggapan bahawa air paip yang kita minum dan gunakan berasal daripada empangan air yang bersih.

Mereka tidak sedar bahawa air yang digunakan setiap hari adalah air yang dirawat daripada sungai-sungai di hilir yang kebanyakannya tercemar.

Kos rawatan juga turut meningkat untuk merawat sungai yang kian tercemar. Namun masyarakat akan membantah apa-apa usaha untuk kenaikan tarif air walaupun mereka boleh menghabiskan beratus ringgit sebulan untuk tarif internet.

Diharapkan agar tragedi Sungai Kim Kim menjadi iktibar kepada semua pihak, samada penduduk setempat, pihak berkuasa dan pengusaha kilang, betapa pentingnya menjaga alam sekitar terutamanya sungai.

Pihak berkuasa perlulah sentiasa memantau aktiviti kilang di sepanjang sungai manakala pengusaha kilang perlulah mematuhi peraturan yang ditetapkan serta tidak memikirkan keuntungan sahaja dengan membuang segala sisa ke dalam sungai.

Penduduk setempat pula perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dan melaporkan segera sebarang kegiatan yang mencurigakan. Semoga tiada lagi episod Kim Kim selepas ini kerana semua pihak sedar dan insaf atas kesilapan lampau.

 

 

(Nota: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian Bernama mengenai isu yang ditulis)

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan