AM

'Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour' Pukau Jakarta

22/02/2019 06:22 PM

Daripada Muhammad Zaini Mohd Zin

JAKARTA, 22 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin memukau para penonton melalui persembahan di konsert jelajahnya yang pertama ‘Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour’ di Stadium Istora Senayan malam tadi.

Penyanyi No. 1 Malaysia, Siti Nurhaliza yang telah berehat lama setelah bergelar ibu kepada Siti Aafiyah Khalid Mohamad Jiwa menyampaikan lebih 25 buah lagu.

Siti yang lebih mesra dipanggil Tokti turut menyanyikan lagu “Happy Birthday” sempena sambutan hari ulang tahun kelahiran suaminya baru-baru ini.

Artis lelaki popular dari Indonesia, Tulus bergabung pentas bersama Siti sebagai artis undangan menyampaikan sebuah lagu iaitu ‘Seindah Biasa’.

“Ini adalah mimpi yang menjadi kenyataan. Saya benar-benar diberkati. Tentunya saya tidak bisa melakukan ini sendiri tanpa dukungan kalian para penghuni Sitizoners, penggemar setia dan pengasih saya,” jelas Siti kepada Bernama.

JUALAN TIKET DI LOKASI SETERUSNYA

‘Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour’ merupakan konsert jelajah terbesar beliau yang merangkumi dua fasa dalam jangka masa dua tahun bermula di Indonesia (Jakarta), Singapura ‪pada 2 Mac‬ dan kembali ke Malaysia, iaitu di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 16 Mac ini.

Pengarah Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata pihak produksi dan pengurusan sedang berbincang bagi mengembalikan semula detik bersejarah di Royal Albert Hall, London berserta di beberapa lagi lokasi ikonik untuk dijelajahi.

Siti akan membawa peminat mengenalinya dengan lebih dekat melihat kejadian di belakang tabir melalui filem dokumentari sepanjang perjalanan konsert jelajah bertajuk "They Call Me Siti - Seorang Wanita, 2 Dekad, Beribu Perjalanan."

Menurut Shirazdeen, filem dokumentari itu diarah oleh Anusha Peterson dan bakal menemui peminat di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei pada suku tahun ini.

Menerusi filem ini, peminat akan menyaksikan bagaimana dalam kesibukan Siti menjaga Siti Aafiyah dan menjalani latihan menari, muzik, fitness sehingga ke setiap lokasi konsert berlangsung.

MEET AND GREET

Seramai 100 peminat bertuah terpilih daripada belian tiket ‘Meet and Greet’ berpeluang berjumpa Siti di Hotel Raffles di sini.

Harga tiket bermula serendah RM105 bagi Bronze, RM155 - Silver, RM255 - Gold, RM355 - Platinum, RM 495 - Diamond dan RM1,295 ‘Meet and Greet’.

Untuk maklumat lanjut, layari www.shirazprojects.com atau www.myticket.asia bagi mendapatkan tiket konsert di lokasi yang seterusnya.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan