EKONOMI

Perubahan besar dalam pendekatan Malaysia ke arah perjanjian dagangan antarabangsa

31/12/2018 11:03 AM

Oleh Noor Soraya Mohd Jamal

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Tahun 2018 menyaksikan perubahan amat besar dalam landskap politik dan ekonomi Malaysia, dengan perang perdagangan berprofil tinggi dan tindak balas antara dua ekonomi terbesar dunia yang berfungsi sebagai latar belakang kepada apa yang menjadi tahun yang penting untuk pelbagai perjanjian perdagangan antarabangsa.

Selain berurusan dengan dua halangan, peningkatan perlindungan perdagangan, kebangkitan semula pergerakan kebangsaan dan dasar yang melihat ke dalam juga secara perlahan-lahan berlaku di peringkat global, bahkan di negara-negara ASEAN.

Oleh itu, untuk mendapatkan persetujuan bagi Perkongsian Perjanjian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) - dua perjanjian perdagangan terbesar yang melibatkan Malaysia - adalah sukar kerana negara berbeza mempunyai isu sensitif berbeza yang dipertahan atau dipromosi mereka, tanpa mengira untuk perjanjian kolektif atau konsesi.

Di dalam negara, Pakatan Harapan (PH) yang memenangi pilihan raya umum dan mula berkuasa pada 9 Mei yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamed, berikutan gelombang awam dan kempen untuk menyekat campurtangan asing terutama dari segi perdagangan dan ekonomi di negara ini

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2018 di Singapura, Dr Mahathir menegaskan bahawa dengan mengambil kira keutamaan negara tidak bermaksud menyokong kerajaan untuk menerima pakai dasar ekonomi yang tidak bergantung kepada negara lain tetapi untuk bekerja bersama dan secara aktif terlibat dalam mencari penyelesaian yang baik dan menyelesaikan isu perdagangan melalui dialog pelbagai hala.

Beliau juga menjadikan kedudukan Malaysia sangat jelas - Malaysia tidak akan bersetuju dengan perjanjian perdagangan yang berat sebelah dan sebarang perjanjian perdagangan mesti sama ada saksama untuk negara-negara membangun atau tidak ada apa-apa perjanjian sama sekali.

Perjanjian itu mesti saling bermafaat dan tidak ada tekanan atau ekonomi yang lebih kecil tunduk kepada negara-negara kuat dan terlibat dalam naratif populis semata-mata untuk menggembirakan kuasa-kuasa besar ekonomi, katanya.

Dan ini, lebih kerap daripada tidak, merujuk kepada ibu semua perjanjian perdagangan, CPTPP, yang merupakan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dijenama semula selepas runtuh setelah Amerika Syarikat menarik diri pada Januari 2017 di bawah Presiden Donald Trump.

Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu mengkaji dengan teliti syarat perjanjian mengenai CPTPP untuk melihat bagaimana ia akan menjejaskan usaha Malaysia untuk mengagihkan kekayaan di negara ini secara adil.

Beliau berkata, walaupun terdapat kemungkinan Malaysia akan meratifikasi CPTPP, negara ini akan meminta beberapa pengecualian.

Setakat Oktober, lebih banyak masa diperlukan untuk meratifikasi CPTPP, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Isham Ishak.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya dua persidangan Parlimen tambahan diperlukan untuk meminda undang-undang dan peraturan.

"Terdapat 18 undang-undang dan peraturan yang mesti dipinda oleh Parlimen sebelum kelulusan Kabinet dipohon. Seperti jadual asal, kami sepatutnya membolehkan CPTPP diratikasi pada Februari 2019,” katanya.

Jepun, Singapura, Mexico, Kanada, Australia, New Zealand dan Vietnam telah mengesahkan perjanjian itu, yang memenuhi ambang minimum - ratifikasi oleh enam penandatangan - bagi CPTTP untuk dilaksana menjelang akhir tahun.

Selain Malaysia, Brunei, Chile dan Peru masih belum mengesahkan perjanjian itu.

Reaksi terhadap CPTPP di negara ini bercampur-campur dengan tiga ahli Parlimen (PH) yang meminta kerajaan menarik diri daripada meratifikasi CPTPP, dengan menyatakan bahawa Malaysia mungkin akan menghadapi akibat sosio-ekonomi yang dahsyat jika ia memilih untuk meratifikasi perjanjian itu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, CPTPP tidak akan memberi manfaat kepada golongan miskin, golongan yang menderita sakit yang membawa maut, wanita atau kerajaan.

Pergerakan Bantah TPPA/CPTPP menyatakan Malaysia tidak perlu meratifikasi perjanjian perdagangan tersebut kerana ia mungkin kehilangan fleksibiliti dasar-dasar pentingnya, yang dibentuk oleh masyarakat berbilang etnik.

Sementara itu, Institut Untuk Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berpendapat Malaysia perlu meratifikasi CPTPP untuk memastikan pembangunan ekonomi yang mampan pada masa depan.

IDEAS menggambarkan pakatan berkenaan sebagai persetujuan berkualiti tinggi yang akan memberi manfaat kepada Malaysia kerana berdasarkan sejarah, pertumbuhan ekonomi negara sebahagian besarnya didorong oleh keterbukaan perdagangan dan bukannya pembangunan infrastruktur.

Rundingan mengenai RCEP, satu lagi perjanjian perdagangan mega, masih berterusan. Pada masa ini, tarikh muktamadnya masih kabur, walaupun dirundingkan sejak 2013.

Dengan merujuk kepada pakatan perdagangan terbesar dunia, yang merangkumi hampir separuh daripada ekonomi global, rundingannya akan selesai menjelang akhir tahun depan,

RCEP sering dianggap sebagai inisiatif yang diterajui China tetapi sebenarnya ASEAN adalah pemacu utama dengan ahli-ahli lain yang juga termasuk Australia, China, India, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan.

Ketegangan geopolitik yang berterusan antara ekonomi anggotanya boleh menghalang kemajuan terhadap rundingan RCEP tetapi RCEP menjadi alternatif bagi negara anggota, terutama ASEAN untuk memajukan agenda liberalisasi perdagangan.

Kira-kira 65 peratus perdagangan ASEAN adalah dengan negara RCEP, oleh itu ia harus memanfaatkan hubungan perdagangan peringkat tinggi yang sedia ada.

Dr Mahathir berkata, Komuniti Ekonomi ASEAN dan RCEP dapat berfungsi seiring untuk menyediakan templat yang baik untuk seluruh dunia ke arah integrasi yang inklusif dan dinamik di kalangan negara-negara yang berbeza-beza pembangunan tetapi dengan aspirasi yang sama untuk kemajuan dan penglibatan ekonomi.

Bagi ASEAN, perdagangan intra-rantaunya tidak berubah di antara 25 dan 30 peratus, jauh di bawah kumpulan ekonomi lain seperti Kesatuan Eropah dan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) masing-masing pada 63 peratus dan 50 peratus peratus.

Mencapai lebih daripada 30 peratus intra perdagangan di ASEAN seolah-olah menjadi sasaran terlalu besar tetapi ASEAN harus mengejar dan merangkul ini dengan membuka peluang dan meneroka kemungkinan baru.

Laporan global Hongkong and Shanghai Banking Corporation mendedahkan bahawa korporat Asia Tenggara mempunyai prospek perdagangan yang paling mantap di dunia, menjangkakan lebih banyak pengeluaran dan pelaburan akan beralih ke laluan ASEAN.

Melangkah ke hadapan, Malaysia telah membangunkan rangkaian perdagangan yang kukuh dan sektor yang pelbagai sejak bertahun-tahun, yang akan membolehkan syarikat domestik menangani cabaran dan mencari peluang serta alternatif baru.

Di samping itu, negara ini komited untuk melibatkan diri dan meneruskan inisiatif perdagangan yang lain melalui perjanjian dua hala dan pelbagai hala yang akan memberi manfaat kepada syarikat dan usahawan Malaysia.

Antara perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam perancangan termasuk FTA ASEAN-Hong Kong, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Persatuan Perdagangan Bebas Malaysia-Eropah dan Perjanjian Perdagangan Keutamaan Malaysia-Iran.

Malaysia masih menerima tawaran FTA daripada beberapa negara selain permintaan untuk kajian semula FTA.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan