Oleh Sakini Mohd Said
ALOR SETAR (Bernama) -- “Ini adalah karas, sejenis pokok hutan yang boleh menghasilkan komoditi negara bernilai tinggi dinamakan gaharu. Untuk mendapatkan gaharu yang nilai boleh mencecah puluhan ribu, cara menuai pokok karas ini berbeza dengan pokok lain.
“Jika pokok lain memberi hasil apabila batangnya sihat tetapi tidak karas kerana kita perlu cedera dan rosakkan ia, barulah gaharu terhasil. Lebih lama pokok ini sakit atau dijangkiti penyakit, maka lebih bermutulah kayu gaharu diperolehi,” kata Ramli Harun, 67, yang mengusahakan tanaman pokok gaharu sejak 1990.
Beliau mempunyai dua buah ladang pokok karas iaitu di Pokok Sena dan di Jalan Hutan Kampung. Kedua-duanya di sekitar Alor Setar. Bernama berkesempatan menemu bual beliau semasa program Lawatan Perkayuan anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) baru-baru ini.
Menurut Ramli yang juga pengasas Oud Wangi Enterprise, pokok karas yang diserang penyakit akan menyebabkan sel pokok karas itu mati dan semasa tindak balas melawan penyakit tersebut akan membentuk gaharu.
Sambil menunjukkan potongan karas mengandungi gaharu yang membentuk daripada pelbagai jaluran warna coklat-kemerahan sehingga kehitaman kepada media, beliau berkata terdapat dua kaedah yang digunakan untuk mencederakan pokok bagi mendapatkan hasil tersebut.
Antaranya melalui teknik semula jadi (dipanah petir, ditimpa pokok) atau yang diaktif manusia menerusi menakik, mengikat batang pokok dengan dawai ataupun menyuntik sejenis vaksin yang dinamakan “inokulasi”.
"Kaedah yang saya gunakan untuk cederakan pokok ini dinamakan inokulasi dan sudah terbukti dapat menghasilkan gaharu dengan cepat.
“Keberangkalian karas hasilkan gaharu menerusi proses inokulasi adalah 90 peratus berbanding kaedah semula jadi dan antara bahan yang digunakannya adalah gula merah, air gaharu dan beberapa bahan mentah organik lain,” katanya.
DUA KILANG
Sudah berkecimpung lebih 20 tahun dalam industri gaharu, anak kelahiran Kuala Setar ini berkata suntikan inokulasi biasanya bermula apabila pokok karas mencapai usia matang lima hingga 10 tahun ke atas dan mempunyai ukuran lilit pokok sekurang-kurangnya 15 sentimeter.
Beliau kemudiannya membawa penulis melihat proses tersebut yang dilakukan pekerjanya sambil menjelaskan, setiap pokok akan ditebuk lubang selebar enam inci untuk dimasukkan vaksin inokulasi dan jumlah lubang bergantung kepada saiz lebar serta tinggi sesuatu pokok karas.
"Selepas setahun disuntik inokulasi, gaharu sudah terbentuk dan kita boleh tebang pokok ini untuk proses seterusnya mengekstrak pati minyak gaharu,” katanya.
Sambil memberi peluang kepada media mengenal bau gaharu dengan mencalitkan sedikit minyak gaharu itu pada pergelangan tangan dan muka, Ramli berkata beliau mempunyai dua kilang berskala kecil memproses minyak gaharu di Langkawi dan Alor Setar.
"Harga untuk sebotol pati minyak gaharu bersaiz 12 milimeter adalah RM500 dan 1 liter pula, RM41,000.
“Ia mahal kerana bukan mudah untuk mengekstrak pati minyaknya. Biarpun mahal tetapi permintaannya sentiasa ada terutamanya dari negara Timur Tengah. Cuma, masalahnya penawaran tidak mencukupi,” katanya.
PENAWARAN TIDAK CUKUP
Menjelaskan lebih lanjut, Ramli berkata ada ketikanya beliau terpaksa mendapatkan bekalan kayu gaharu daripada pengusaha lain disebabkan stok komoditi di ladangnya yang brekeluasan suku ekar tidak mencukupi memenuhi permintaan pelanggan.
Namun, menjadi masalah apabila majoriti petani gaharu tidak mengetahui bahawa pokok karas ini perlu dicederakan bagi mempercepatkan pengeluaran gaharu sekali gus menyebabkan kebanyakannya tidak mendapat hasil seperti yang diharapkan.
“Setiap bulan kami dapat menghasilkan hanya dua liter setengah pati minyak tetapi permintaan lebih daripada itu. Kami cuba dapatkan stok petani lain tapi ramai salah faham kerana menyangkakan tanaman ini hanya tanam dan jual kayu karas sahaja sudah boleh jadi kaya.
“Mereka ingat satu pokok ini boleh dijual RM2000 – RM3000. Tetapi, bila kami periksa pokok itu tidak ada gaharu disebabkan tidak mengalami proses kecederaan tersebut jadi macam mana boleh jual,” katanya.
Gaharu atau juga dikenali sebagai candan, depu, oudh mempunyai nilai komersil sangat tinggi dengan pelbagai kegunaan seperti wangian, perubatan, kosmetik, makanan, produk kraftangan mahupun bagi tujuan keagamaan yang telah digunakan sekian lama dalam kehidupan masyarakat.
Sifatnya yang mampu menghasilkan aroma wangian menambat perhatian negara Timur Tengah apabila mendapat permintaan sangat tinggi khasnya daripada Oman, Qatar, Kuwait, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
TIDAK CUKUP ILMU
Di Malaysia, industri gaharu mula mendapat tempat dan perhatian sejak awal tahun 70-an dan data MTIB melaporkan bahawa nilai eksport gaharu adalah sebanyak RM16 juta pada tahun 2017 berbanding tahun 2016 iaitu RM15.16 juta.
Bagaimanapun, kebanyakan sumber gaharu ini adalah kebergantungan pada sumber hutan semula jadi iaitu antara 80 hingga 90 peratus menyebabkan aset sumber negara ini semakin berkurangan dan kini komoditi ini diletakkan di bawah Lampiran II, Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesis Terancam Flora dan Fauna (CITES).
Justeru dalam memenuhi permintaan dan menangani penyusutan bekalan, kerajaan mula menggalakkan penanaman karas di Malaysia sejak tahun 2000. Sehingga Ogos 2018, negara mempunyai 194 pengusaha gaharu berdaftar melibatkan 1.62 juta pokok karas dengan keluasan 1863 hektar.
Namun, usaha tersebut dilihat agak kurang memberangsangkan berikutan masih ramai pengusaha gaharu kurang ilmu mengenai penananam karas.
Mengulas isu ini, Penolong Pengarah Kanan Perladangan Hutan MTIB, Mohd Zamakhsyary Mustapa tidak menafikan masalah yang dihadapi oleh Ramli itu dan menyatakan ia adalah cabaran besar untuk agensi itu dalam usaha melestarikan komoditi tersebut.
“Isunya adalah mereka tidak mempunyai ilmu mencukupi mengenai penanaman karas. Bila kita tanya mengapa mereka tanam, jawapannya ikut kawan sebab rakan kata tanaman ini boleh jadi jutawan.
“Sebab itulah ada yang sudah tanam 10 hingga 12 tahun tapi tidak ada hasil kerana tidak tahu karas perlu dicederakan dengan inokulasi untuk dapatkan hasil,” katanya kepada Bernama.
Kurang ilmu itu juga menyebabkan mereka menganggap pokok jenis ini tidak perlu dijaga dengan baik disebabkan ia pokok hutan kerana menyangkakannya bersifat lasak. Bagaimanapun, ramai mula tergamam apabila pokok yang ditanam beribu batang, akhirnya tinggal 10 sahaja yang hidup kerana kurang penjagaan.
MANFAATKAN PELUANG
Dalam hal ini, MTIB mahupun Jabatan Perhutanan sudah banyak menganjurkan seminar, bengkel mahupun membuka pintu pejabat mereka seluas-luasnya kepada pengusaha gaharu untuk mereka tampil bertanya namun kebanyakannya tidak mahu memanfaatkan peluang yang ada.
Malah, kebanyakannya lebih gemar mempercayai medan media sosial atau pun bertanya dengan individu tidak sepatutnya sehingga mudah terpedaya misalnya dalam pembelian rawatan suntikan inokulasi.
“Kerana kurang ilmu ramai mempunyai stigma rawatan inokulasi ini kena buat sekali gus sedangkan ia sebenarnya boleh dibuat secara berperingkat.
“Rawatan suntikan inokulasi bukannya murah sekitar RM100 hingga RM300 untuk satu pokok. Biasalah penjual akan suruh suntik semua pokok kononnya boleh dapat hasil hasil cepat dan jadi jutawan.
“Bayangkan kalau dia suntik 100 pokok dan harga untuk satu suntikan bernilai RM300, jumlahnya dah RM30,000. Ini antara sebab juga mengapa ramai pengusaha gaharu tersangkut kerana tidak ada modal,” katanya.
Bagi MTIB, nasihat yang selalu diberikan kepada pengusaha gaharu adalah tidak perlu untuk suntik semua sekali kerana ini juga sebagai memastikan bekalan stok sentiasa berterusan.
Bagaimanapun, Mohd Zamakhsyary berkata kebanyakan yang mendapatkan nasihat dan ilmu gaharu atau merujuk kepada agensi berkaitan adalah kalangan bukan bumiputera.
“Misalnya dia ada 1000 pokok, boleh mulakan suntikan inokulasi dengan 50 atau 100 pokok dahulu dan buat secara konsisten. Selepas dapat hasil peringkat pertama, barulah mulakan rawatan inokulasi kedua dan ini menjanjikan penawaran berterusan.
“Disebabkan itulah, besar harapan MTIB agar lebih ramai pengusaha gaharu khususnya kalangan bumiputera datang berjumpa kami untuk mendapatkan nasihat mengenai industri ini supaya tidak tersilap langkah dan pemahaman yang boleh mendatangkan kerugian,” katanya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial