AM

Usaha wanita Sarawak bawa pengkomposan ulat sisa organik ke tahap berbeza

20/11/2018 10:57 PM

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

KUCHING, 20 Nov (Bernama) –  Semenjak empat tahun lepas  seorang wanita gigih berusaha dan tidak pernah berputus asa dalam kajiannnya untuk mengenalpasti cara terbaik untuk mengendalikan  sisa organik serta  menghasilkan makanan terbaik bagi haiwan.

Tambah menarik , pengasas Aquavermiponic Sdn Bhd, Amelia Lim Wen Ching, tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran asas dalam bidang ini, tetapi berkat  usaha gigihnya untuk mencari cara yang paling berkesan mengurangkan sisa dapur, semua kerja keras beliau akhirnya berbaloi.

Berkongsi pengalamannya dengan Bernama, Lim, yang sebelum ini bekerja di sektor korporat, berkata Aquavermiponic berurusan dengan pengurusan sisa makanan yang bertujuan untuk mengurangkan sisa makanan untuk kebersihan alam sekitar dan amalan gaya hidup sihat melalui proses pengkomposan  ulat atau vermicompost.

Mendapat julukan "Worm Lady", wanita berusia 38 tahun itu berkata menerusi aplikasi vermicompost, Aquavermiponic menggunakan dua jenis ulat, iaitu ulat super dan larva lalat askar hitam untuk menjadikan sisa organik menjadi kompos yang sangat tinggi, yang menyebabkan kurang bergantung pada mekanisasi, baja dan bahkan air.

"Ulat Super memerlukan pengawasan yang tinggi dari segi kebersihan untuk berkembang dengan kualiti yang tinggi. Untuk lalat askar hitam , larva ini tumbuh dengan baik di negara tropika kita dan alternatif terbaik untuk mengekalkan sumber protein untuk makanan haiwan.

“Semua ulat diberi makan dengan formula istimewa kami untuk memastikan proses vermicompost itu berkualiti tinggi," kata Lim yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Pengajian Komunikasi) dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Menurut Lim, pada masa ini, Aquavermiponic menghasilkan kompos organik selain membekalkan ulat super kepada sektor makanan dan minuman (F & B) di bandaraya Kuching.

Lim juga berkata 10 pembekal akan menghantar sisa organik kepada mereka setiap hari.

“Terdapat pelbagai sisa organik atau sisa dapur seperti sayur atau buah-buahan yang sudah rosak. Kami  boleh menguruskan purata 500 kilogram sisa organik setiap hari.

“Aquavermiponic juga  mempunyai ladang yang terletak di Jalan Kuching-Serian di mana kami mengadakan pertanian kontrak dengan beberapa penduduk sekitar di mana mereka latih cara membiak dan memelihara ulat super dan larva lalat askar hitam dan  dan mereka kemudian  menjual kembali produk itu  kepada kami, "katanya.

Beliau berkata pihaknya berupaya menjual ratusan kilogram ulat super kepada sektor F&B dalam setiap bulan serta antara dua hingga tiga tan kompos yang dihasilkan oleh larva lalat askar hitam.

"Pada masa ini kami juga mempunyai usaha sama dengan UNIMAS dengan  mendapatkan pelatih bagi menjalankan  penyelidikan projek makanan pertanian. Selepas beberapa pemerhatian tahun ini, kami berjaya mendapatkan beberapa data positif untuk menjalankan beberapa penyelidikan pelbagai jenis ikan seperti talapia dan empurau (ikan kelah); udang harimau dan ketam lumpur.

"Dari sana, menunjukkan hasil yang  baik dan positif dan kemungkinan  pada tahun depan kami boleh mengeluarkan makanan haiwan," katanya.

Lim berkata bagi meningkatkan penghasilan larva lalat askar hitam, Aquavermiponic sedang membina sebuah ladang baharu  di Matang di sini.

"Saya telah mendapatkan  beberapa pelabur untuk membina  ladang yang apabila siap nanti  akan menjadi ladang serangga  terbesar di Sarawak," katanya sambil menambah bantuan dari mana-mana agensi berkaitan atau kerajaan negeri dialu-alukan untuk membantu mendidik lebih ramai orang mengenai vermicompost.

"Dengan cara lain, kami membantu petani untuk menjimatkan kos dan menjana lebih banyak pendapatan untuk Sarawak," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan