KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak mempunyai sebarang bantahan sekiranya Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPF) diletakkan di bawah bidang kuasanya.
Menterinya Gobind Singh Deo berkata, kementerian itu bersedia untuk membincangkan perkara berkenaan dengan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ketika ini, LPF berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.
"Saya pernah ditanya soalan itu sebelum ini (dan) saya tiada masalah mengenainya kerana kami menguruskan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Saya akan menelitinya. Tentu ada sebab kenapa LPF diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri,” kata beliau tanpa memberikan penjelasan terperinci.
Gobind Sing ketika ditemui pemberita selepas beliau merasmikan Forum Transformasi Digital di sini, ditanya sama ada LPF patut diletakkan di bawah kementeriannya dan bukan di bawah Kementerian Dalam Negeri, seperti sekarang.
LPF, yang bertanggungjawab membuat tapisan ke atas sesuatu filem sebelum ditayangkan kepada umum di Malaysia, dilaporkan menerima kritikan orang ramai dalam beberapa kes, termasuk penapisan bahagian tertentu ‘Bohemian Rhapsody’, biopik penyanyi utama Queen, Freddie Mercury dan penyuntingan filem keluaran Disney tahun lepas, ‘Beauty and the Beast’, yang hampir tidak dapat ditayangkan di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial