BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 AM

Hari ini airmata warga Palu gugur lagi

19/10/2018 12:36 AM

Daripada Muhammad Faiz Baharin

KOTA PALU, (Sulawesi Tengah), 18 Okt (Bernama) --  Tangisan dan linangan air mata mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Palu hari ini mengiringi tazkirah disampaikan penceramah terkenal, Kamarudin Abdullah bertajuk ‘Palu : Penyembuhan Semangat dan Emosi’, di pusat pemindahan mangsa (Posko) di Kabonena, di sini.

Tazkirah khas bagi memberi motivasi kepada penghuni pusat itu gagal membendung kesedihan apabila suasana sayu jelas terpapar di wajah mereka sebaik Kamarudin, anak didik pendakwah terkemuka, Dr Zakir Naik, memulakan ceramah.

“Palu, bangkitlah, Malaysia bersama anda, saat anda sakit, kami saudara anda di Malaysia, sakit bersama, bangkit kerana ini adalah ujianNya, ayuh kembalikan semangat kita untuk terus melangkah dalam kehidupan,” katanya di awal ceramah yang diadakan di bawah kanpi khas di pusat itu.

Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) itu yang turut terkesan kesedihan menyampaikan tazkirah kira-kira 10 minit yang memperlihatkan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap nasib mangsa.

Kamarudin, Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 2018 adalah antara 40 sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang kini berada di bumi Indonesia bagi menjalankan misi kemanusiaan membantu mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Palu.

Ketika ditemui, Kamarudin berkata, penduduk Palu kini trauma dan terganggu emosi  berikutan kehilangan nyawa anggota keluarga dan harta benda berikutan tragedi itu.

“Bencana yang dialami sangat dahsyat dan kita sebagai saudara, berada di sini untuk membantu mereka bangkit, kita akan pulang ke Malaysia selepas ini, adalah penting untuk kita meninggalkan mereka di sini dengan bekalan semangat baharu,” katanya.

Seorang mangsa,  Siti Halimah, 47, berkata dia begitu sedih mendengar tazkirah itu kerana terkenangkan dua anak lelakinya yang maut dalam tragedi 28 Sept lalu.

“Apabila penceramah (Kamarudin) meminta kami agar bangkit, saya seolah-olah buntu, tidak tahu bagaimana mahu bangkit di saat dua sumber kekuatan saya itu (dua anak lelaki) kini sudah tiada lagi,” kata ibu tunggal itu.

Gempa bumi dan tsunami yang melanda Palu setakat ini telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan. 

Susulan bencana itu, mereka yang ingin menderma kepada mangsa tragedi di Palu boleh layari laman sesawang www.rayuansulawesi.com untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan