AM

Gempa 7.7 skala richter cetus Tsunami di Sulawesi

29/09/2018 01:21 AM

Oleh Mohd Shukri Ishak

JAKARTA, 28 Sept ( Bernama) – Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 Skala Richter di Sulawesi, Indonesia turut mengakibatkan tsunami di kawasan pantai Palu petang tadi.

Berdasarkan video daripada Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, tsunami setinggi tiga meter itu berlaku 5.27 petang waktu Indonesia Timur, kira-kira 22 minit selepas gempa kuat itu menggoncang wilayah Kota Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah.

Ketua Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Dwikorita Karnawati berkata gempa bumi itu menyebabkan berlaku tsunami pada ketinggian lebih dari 50 centimeter hingga maksimum tiga meter.

"Setakat 8 malam ini, BMKG mencatatkan sebanyak 22 kali gempa susulan dengan kekuatan antara 2.9 hingga 6.3 Skala Richter selepas gempa kuat 7.7 Skala Richter yang berpusat di timur laut Donggala jam 5.02 petang tadi," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dalam satu kenyataan malam ini berkata setakat ini enam dilaporkan terkorban akibat gempa dan kejadian tsunami itu.

"Pasukan penyelamat sedang memindahkan penduduk terbabit ke kawasan selamat.

"Berlaku banyak kemusnahan bangunan dan kediaman yang jumlahnya belum dapat dipastikan," katanya.

Jaringan telekomunikasi di Kota Palu juga kini dilaporkan terputus berikutan banyak menara telekomunikasi terjejas teruk akibat gempa kuat itu, katanya.

Sementara itu jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa dalam gempa itu.

"Pihak kedutaan memantau perkembangan terkini, dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat terkini," kata jurucakap itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan