AM

Malaysia teruskan bantuan kemanusiaan kepada pelarian - Menteri Luar

25/09/2018 07:57 PM
Daripada Roslan Ariffin

NEW YORK, 25 Sept (Bernama) -- Malaysia akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pencari suaka dan pelarian dari 59 negara yang mencari perlindungan di negara ini.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata kumpulan itu diberi kemudahan rawatan perubatan di pusat perkhidmatan kesihatan milik kerajaan di seluruh Malaysia, manakala mereka yang dijangkiti penyakit berjangkit dikecualikan daripada bayaran di pusat-pusat rawatan kerajaan.

“Kemudahan pendidikan juga diperluaskan kepada pelarian di Malaysia sama ada melalui UNHCR mahupun NGO dan komuniti pelarian,” katanya pada Mesyuarat Peringkat Tertinggi mengenai ‘Global Compact for Refugees’ (GCR) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

GCR adalah satu persetujuan antarabangsa tanpa ikatan oleh negara anggota PBB yang akan menggariskan langkah-langkah khusus memperbaiki kehidupan pelarian dan komuniti tuan rumah pelarian.

‘Global Compact’ itu dijangka diterima secara rasmi oleh Perhimpunan Agung PBB pada akhir tahun ini.

Saifuddin berkata Malaysia menjadi tuan rumah kepada 161,146 orang yang diberi perhatian, yang terdiri daripada pencari suaka dan pelarian setakat 31 Ogos tahun ini.

Saifuddin berkata Malaysia percaya bahawa pendekatan menyeluruh adalah penting dalam memastikan kebajikan pelarian, terutamanya mereka yang berada dalam situasi yang berlarutan, akan ditangani.

“Pada asasnya, kerajaan mempunyai tanggungjawab utama, tetapi sering kali kerajaan tidak mampu untuk bertindak sendirian. Oleh itu, Malaysia sedar bahawa perlindungan pelarian dan kebajikan mereka memerlukan pendekatan yang pelbagai, di mana penyertaan aktif masyarakat dan sektor swasta adalah antara ciri yang penting,” katanya.

Saifuddin juga memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengabaikan tanggungjawab dan komitmen antarabangsanya dalam menangani migrasi yang disebabkan oleh peperangan, bencana, pergolakan politik dan konflik bersenjata.

Tambahnya, Malaysia akan terus memperbaiki tadbir urus migrasi sambil memastikan kedaulatan, integriti dan keselamatan negara tidak dikompromi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa beban dan tanggungjawab menangani masalah pelarian mestilah dikongsi bersama antara kerajaan negara asal dan negara penerima.

"Ia tidak boleh dan tidak menjadi tanggungjawab satu pihak sahaja. Dalam hal ini, dasar dan langkah di peringkat global mesti memenuhi keperluan semua pihak serta diformulasi dan dilaksanakan dengan penyertaan yang berkesan dari semua pihak," katanya.

Sementara itu, pada mesyuarat pleno peringkat tertinggi mengenai keamanan global sebagai penghormatan kepada bekas pemimpin Afrika Selatan, Nelson Mandela, Saifuddin memberi penghormatan kepada legasi wira anti aparthied itu.

Beliau berkata Malaysia dan dunia mengiingati akan perjuangan mendiang Mandela yang memainkan peranan penting dalam menghapuskan Aparthied dengan menyatukan seluruh Afrika Selatan dan memperjuangkan hak asasi manusia.

“Ketika kali pertama Nelson Mandela melawat Malaysia pada tahun 1990, beliau amat berminat untuk mengetahui pengalaman kita dalam membangunkan negara.

"Negara kita baru sahaja selesai pilihan raya umum ke-14 dengan mencipta sejarah sama seperti pilihan raya Afrika Selatan pada 1994, di mana sebuah kerajaan baru dipilih menerusi suara rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan