AM

Bicara kes Najib 33 hari bermula 12 Feb tahun depan

10/08/2018 11:07 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 33 hari bermula 12 Feb tahun depan untuk perbicaraan kes  bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 12 hingga 28 Feb dan 4 hingga 29 Mac untuk perbicaraan selepas selesai memberi keputusan berhubung permohonan Najib bagi mendapatkan perintah larangan terhadap media daripada menerbitkan perbincangan berkaitan merit dan pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah juga menetapkan 4 Okt ini untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Ketua Unit Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memberitahu mahkamah bahawa pihaknya bersedia untuk memulakan perbicaraan pada November ini.

“Ini sejajar dengan Seksyen 172B(4) Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan perbicaraan kes jenayah perlu dijalankan dalam tempoh 90 hari selepas tertuduh didakwa ,” katanya.

Mohamad Hanafiah turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan mengemukakan 50 saksi.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah perbicaraan ditetapkan pada November tahun ini.

“Kami perlukan masa untuk mengkaji semua dokumen dan saya akan terima sebarang tarikh jika perbicaraan ditetapkan pada Februari dan Mac. Saya tidak tahu kenapa mereka (pendakwaan) berada dalam keadaan terdesak,” katanya. 

Beliau juga berkata Seksyen 172B(4) itu yang memperuntukkan perbicaraan harus berlangsung  dalam tempoh 90 hari selepas tertuduh didakwa bukan mandatori tetapi hanya panduan.

“Dalam kes Lim Guan Eng, beliau didakwa pada Jun 2016 dan perbicaraan bermula hampir dua tahun kemudian pada 2018. Kes liwat pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah pada 1998 dan perbicaraan bermula pada 1999 manakala dalam kes liwat keduanya beliau dituduh pada Ogos 2008 dan perbicaraan  bermula  pada Februari 2010,” kata Muhammad Shafee yang beberapa kali meminta mahkamah  menetapkan  tarikh  perbicaraan  pada Februari dan Mac tahun depan yang diputuskan secara tentatif pada prosiding sebelum ini.

Katanya beliau juga sudah mengosongkan jadualnya bagi Februari dan Mac untuk menghadapi perbicaraan itu dan sekali lagi mendesak agar mahkamah mengekalkan tarikh yang ditetapkan sebelum ini.

Muhammad Shafee berkata beliau juga perlukan masa untuk meneliti dokumen yang serahkan oleh pihak pendakwaan menerusi cakera padat pada Rabu dan pejabatnya mengambil masa hampir tiga hari untuk mencetak dokumen tersebut yang berjumlah 3,500 muka surat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan