AM

Ledakan alga beracun di kesan di perairan Kuala Penyu - Junz Wong

04/12/2019 06:23 PM

KOTA KINABALU, 4 Dis  -- Kejadian ledakan alga beracun kini dikesan di perairan Kuala Penyu dengan bacaan sel dinoflagellate Pyrodinium bahamense tinggi dalam air laut dan toksin paralytic shellfish poisoning (PSP) melebihi paras bahaya dalam kerang-kerangan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong dalam kenyataan hari ini berkata kejadian itu dikenal pasti berdasarkan hasil keputusan analisa kerang-kerangan dan air laut dilakukan pegawai Jabatan Perikanan Sabah di Kompleks Perikanan, Likas, dekat sini.

Junz Wong berkata sampel dalus (Meretrix sp) dari Purun Pasir, Kuala Penyu menunjukkan paras toksin PSP setinggi 414 µg Poison/100g meat, manakala keputusan sampel air laut dari kawasan Jeti Penguatkuasaan Perikanan, Muara Sungai Periuk dan Pancang Merah, Kuala Penyu pula masing-masing menunjukkan bacaan sel Pyrodinium bahamense setinggi 18,440 sel/liter, 15,560 sel/liter dan 10,500 sel/liter.

Rujukan paras bahaya toksin PSP adalah 80 µg Poison/100g meat, manakala paras bahaya bagi sel Pyrodinium bahamense dalam air laut adalah 7,000 sel/liter.

“Sel Pyrodinium bahamense tidak membunuh kerang-kerangan atau ikan tetapi ia menghasilkan toksin PSP dalam kerang-kerangan. Toksin PSP tidak mempunyai warna, bau, rasa dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ia tidak dapat dihilangkan dengan memasak atau menyimpan dalam peti sejuk beku,” katanya.

Junz Wong berkata semua jenis kerang-kerangan seperti tiram, dalus dan remis tidak selamat dimakan buat sementara waktu, bagaimanapun, semua jenis ikan, udang, ketam dan sotong adalah selamat untuk dimakan tetapi perlu dicuci dengan bersih termasuk membuang insang serta organ dalaman terlebih dahulu sebelum dimasak. 

Menurutnya, mangsa keracunan toksin PSP pada peringkat awal antara lain akan mengalami gejala berdenyut di bahagian bibir dan lidah pada 30 minit pertama selain akan merasa seperti ‘dicucuk pin dan jarum’ pada bahagian kulit serta merasa terapung atau mual.

“Bagi kes teruk, mangsa akan kehilangan kawalan tangan dan kaki serta mengalami kesukaran bernafas,” katanya, dan menambah, dalam kes serius, risiko maut boleh berlaku dalam masa dua hingga 24 jam kerana sistem pernafasan menjadi lumpuh serta jantung tidak berfungsi.

Sehubungan itu, Junz menasihatkan semua penduduk mendapatkan rawatan segera di klinik mahupun hospital berhampiran sekiranya mengalami keracunan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan