Polis Rakam Keterangan 36 Individu Berhubung Kes Jaslinda

12/06/2026 01:10 PM

IPOH, 12 Jun (Bernama) -- Polis telah merakam keterangan 36 individu berhubung kehilangan pendaki wanita Jaslinda Saludin yang ditemukan selamat pada Sabtu lepas, setelah 14 hari dilaporkan hilang ketika melakukan pendakian di Gunung Batu Putih, dekat Tapah.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kesemua individu yang telah diambil keterangan, termasuk Jaslinda dan suaminya, Haszman Othman, 61, serta rakan-rakan yang terlibat dengan aktiviti pendakian berkenaan.

Beliau berkata turut diambil keterangan ialah individu yang terlibat memuat naik kandungan berunsur fitnah terhadap Tok Batin Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Pos Musoh berkaitan penemuan Jaslinda.

"Lelaki itu telah direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes fitnah terbabit.

"Kes membabitkan Jaslinda disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil  Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Sabtu lepas, Jaslinda, 49, ditemukan selamat oleh penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Lubuk Gaharu selepas hilang selama 14 hari sejak 24 Mei ketika mendaki Gunung Batu Putih.

Terdahulu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (Siasatan/Perundangan) Superintenden Mohd Ridzuan Nor Ihsan memangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak menggantikan ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah yang bersara wajib pada 18 Jun depan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan