KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk mengeluarkan warta pihak ketiga, terhadap mana-mana individu yang berhasrat mencabar permohonan pelucuthakan ke atas jongkong emas seberat 3.85 kilogram (kg) yang disita daripada kenalan kepada isteri bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Salwani Anuar @ Kamaruddin.
Hakim Suzana Hussin menetapkan 31 Julai ini, bagi pendengaran permohonan itu daripada mana-mana individu yang mempunyai kepentingan ke atas jongkong emas yang disita daripada kontraktor Mohamad Amirul Yusrie Aminorddin @ Ab Kadir, 31.
Sekiranya tiada pihak ketiga tampil ke mahkamah, harta berkenaan akan dilucut hak kepada kerajaan.
Mahkamah membenarkan permohonan warta pihak ketiga itu mengikut Seksyen 41(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, agar notis kepada pihak ketiga dikeluarkan berikutan peguam Muhammad Kausar Mohd Khairi, yang mewakili Mohamad Amirul Yusrie mengesahkan pihaknya tidak membantah permohonan berkenaan.
Berdasarkan notis yang difailkan pada 4 Mei lepas, pendakwa raya memohon supaya jongkong emas seberat 3.85 kilogram yang disita di bawah Subseksyen 41(1) Akta SPRM 2009 dilucut hak kepada kerajaan.
Pada 15 Jan, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata nilai keseluruhan sitaan dalam operasi dinamakan Ops Parasit yang bermula sejak 23 Dis 2025 terhadap bekas PTD dianggarkan RM11.4 juta, manakala 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta telah dibekukan.
Antara sitaan dalam kes ini ialah RM4.4 juta wang tunai, RM1.4 juta mata wang asing, seunit kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000 dan 26 jam tangan mewah bernilai RM2.3 juta.
Turut disita barang kemas bernilai RM294,039, dua cincin berlian bernilai RM20,000, jongkong emas 3.7 kilogram bernilai RM2.5 juta, medalion emas 150 gram bernilai RM102,000 dan dua dinar emas seberat 8.5 gram bernilai RM5,780.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial