Karnival PSPN 2026 Perkukuh Hubungan TDM Dengan Masyarakat

06/06/2026 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat menerusi penganjuran Karnival Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) Zon Tengah Tahun 2026 di Kampung Melayu Wira Damai, Gombak di sini hari ini.

Ketua Staf Am Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat Mej Jen Datuk Norsham Md Tap berkata program berteraskan konsep one stop community support itu dianjurkan bagi mendekatkan golongan ketenteraan dengan komuniti, selaras dengan aspirasi PSPN serta kerangka Malaysia MADANI.

“Melalui program seperti ini, tentera dan masyarakat dapat saling mengeratkan hubungan dan dalam masa yang sama kami membawa pelbagai agensi untuk bersama-sama menyediakan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival PSPN Zon Tengah Tahun 2026 di Kampung Melayu Wira Damai di sini hari ini.

Beliau berkata penganjuran program itu membuktikan kehadiran tentera bukan sahaja dalam aspek pertahanan negara, malah turut memainkan peranan membantu meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkaitan.

Norsham turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Gombak dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.

“Program ini melibatkan banyak agensi. Ada pelbagai aktiviti yang disediakan untuk masyarakat seperti Jualan Rahmah, pemeriksaan motosikal, pembayaran pelbagai urusan agensi termasuk cukai dan lain-lain dengan tawaran diskaun tertentu.

“Saya mengharapkan program seperti ini dapat terus mengeratkan hubungan antara tentera dan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Norsham merasmikan karnival bertemakan “Tentera Turun Padang, Rakyat Jadi Senang” itu, yang dilaksanakan bagi menghimpunkan pelbagai perkhidmatan, bantuan dan inisiatif rakyat di bawah satu platform.

Antara pengisian utama program ialah pemeriksaan kesihatan dan perubatan (MEDCAP), pemeriksaan dan rawatan gigi (DENCAP), pemberian kotak rezeki, servis motosikal percuma, gunting rambut percuma, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jualan Rahmah MADANI, Jualan Agro MADANI, pameran kerjaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pameran aset TDM dan agensi awam serta demonstrasi keselamatan.

Program tersebut menampilkan 11 reruai daripada pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta badan berkaitan bagi memudahkan penduduk setempat mengakses perkhidmatan yang disediakan secara terus.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan