KUALA SELANGOR, 4 Jun (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai “Geng TR” pada 2019 hingga 2024.
R. Ravindran, 46, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran makanan laut di Jeram, Kuala Selangor.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “Geng TR” antara November 2019 dan 3 Mei 2024, suatu kesalahan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza tanpa sebarang pengakuan direkodkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail dan tertuduh diwakili peguam Sean Dudley.
Terdahulu, Lina Hanini memohon tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan meminta kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang.
Mahkamah kemudian mengarahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang untuk tindakan lanjut, manakala tarikh sebutan akan ditetapkan dan dimaklumkan oleh pihak mahkamah melalui notifikasi.
Difahamkan, kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Tinggi Klang kerana prosiding membabitkan beberapa individu lain yang turut didakwa mempunyai kaitan dengan geng berkenaan sedang berjalan di mahkamah yang sama.
Semalam Bernama melaporkan polis menahan seorang lelaki yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah terancang menerusi operasi khas Ops Lima.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata suspek yang juga ahli kumpulan jenayah terancang “Geng TR” ditahan dengan kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand semasa dalam penerbangan dari Chennai, India menuju Bangkok, Thailand sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Beliau berkata suspek berusia 46, ditahan berdasarkan waran tangkap Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada 17 April lepas selain mempunyai Notis Merah Polis Antarabangsa (Interpol) yang dikeluarkan pada 7 Mei lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial