Tujuh Cedera Dalam Nahas Dua Bas Dan Satu SUV Di Jalan Genting Highlands

30/05/2026 11:10 PM

KUANTAN, 30 Mei (Bernama) -- Tujuh individu cedera dalam kemalangan melibatkan dua bas persiaran dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di KM15 Jalan turun Genting Highlands-Genting Sempah, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.29 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands tiba di lokasi pada 6.06 petang.

“Sebuah bas yang membawa 36 penumpang yang terdiri daripada warga Nepal telah terbalik, mengakibatkan enam orang mengalami kecederaan. Sebanyak 34 penumpang dari Bangladesh dan Nepal yang menaiki satu lagi bas persiaran pula dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Salahuddin berkata seorang daripada tiga individu yang berada di dalam SUV turut cedera, manakala dua lagi selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata semua mangsa berjaya keluar dari kenderaan masing-masing sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian.

“Pasukan bomba memberikan bantuan awal kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke hospital. Pihak bomba telah melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di lokasi kejadian,” katanya. 

Sementara itu, pengendali sah rangkaian jalan raya Genting Highlands, Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB) dalam kenyataan memaklumkan bas yang terlibat dalam kemalangan itu telah dialihkan ke kawasan selamat (KM16 Jalan Genting Highlands) dan prosedur pembersihan sedang dijalankan.

“Laluan menaiki dan menuruni (Genting Highlands) telah dibuka kepada lalu lintas dan aliran trafik lancar. Pengunjung dinasihatkan supaya berhati-hati apabila melakukan perjalanan ke dan dari pusat peranginan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan pasukan tindak balas kecemasan LCSB berada di lokasi kemalangan bersama-sama pihak berkuasa untuk memberikan bantuan kepada penumpang yang terjejas.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan pemandu bas persiaran berumur 55 tahun merempuh Perodua Aruz dan sebuah lagi bas persiaran dipercayai memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.

Beliau berkata pemandu bas yang merempuh SUV itu telah ditahan bagi tujuan siasatan dan hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan adalah negatif. Semakan saman juga mendapati pemandu bas terbabit memiliki 29 saman trafik pelbagai kesalahan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan keterangan dan mengenal pasti punca kejadian secara menyeluruh,” katanya dan menambah kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Zaiham turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memandu secara berhemat dan memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan