Nelayan Hilang: Mayat Mangsa Kedua Ditemukan Di Pulau Bengkalis

07/01/2026 09:24 PM

BATU PAHAT, 7 Jan (Bernama) -- Nelayan kedua yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut di perairan Batu Pahat Sabtu lepas ditemukan lemas pagi tadi berhampiran Pulau Bengkalis, Indonesia.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohamad Zaini Zainal berkata mayat Mohd Fazli Misran, 41, ditemukan  anggota Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia pada 9 pagi, kira-kira tujuh batu nautika timur laut Pulau Bengkalis.

Beliau berkata mangsa kemudiannya diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk proses seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zaini berkata susulan itu, operasi mencari dan menyelamat dua nelayan berkenaan ditamatkan selepas mangsa kedua berjaya dijumpai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata proses pengecaman fizikal mayat telah dilakukan dan sampel padanan asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa dengan waris terdekat akan diambil untuk pengesahan identiti secara rasmi.

Beliau berkata ia susulan pengecaman mayat oleh isteri mangsa di HSNI hanya mengenal pasti pakaian mangsa, tetapi tidak dapat mengesahkan melalui pengecaman fizikal mayat.

“Proses bedah siasat akan dijalankan esok dan siasatan polis adalah berdasarkan mati mengejut (SDR),” katanya.

Mohd Fazli dan rakannya Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, dilaporkan hilang setelah mereka keluar untuk memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Tongkang, Jumaat lepas.

Mayat Mohd Saiful Azli dijumpai seorang nelayan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat pada 6 Jan di perairan Sarang Burung, di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan