Bekas Jurutera Mengaku Salah Cuba Guna Wang Palsu, Curi Barang Kemas

05/01/2026 05:05 PM

KUALA TERENGGANU, 5 Jan (Bernama) -- Seorang bekas jurutera mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba menggunakan wang palsu di sebuah kedai emas di sini bulan lepas.

Ahmad Faisal Mohd Shahrani, 34, didakwa melakukan suatu percubaan menggunakan mata wang palsu sebagai tulen, iaitu 359 keping wang kertas RM50 di sebuah kedai emas di Chabang Tiga dekat sini pada 3.10 petang, 18 Dis lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad menawarkan jaminan RM20,000 namun peguam Nurul Najmi Adila Md Nasir daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan minimum kerana tertuduh menanggung seorang isteri dan dua anak yang masih kecil.

Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menetapkan 19 Jan ini untuk fakta kes dan jatuh hukum serta tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Sementara itu, Ahmad Faisal turut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret berasingan atas pertuduhan cuba mencuri seutas rantai tangan bernilai RM29,000 di sebuah kedai emas di Paka, Dungun pada 12.20 tengah hari, 25 Dis lepas.

Kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda. 

Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak membenarkan Ahmad Faisal diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jan ini untuk fakta kes dan jatuh hukum di Mahkamah Majistret Dungun. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ely Nazihah Ahmad Yunus manakala Ahmad Faisal diwakili peguam Ummi Sharmimi Harun daripada YBGK.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan